Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Selasa – Isu kibaran bendera China tidak boleh sesekali diistilahkan mahupun disamakan sebagai solidariti yang sama seperti mengibarkan bendera Palestin di negara ini.
Menurut Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Muhammad Fauzi Asmuni rakyat Malaysia tidak akan boleh terpedaya dengan permainan sentimen sebegitu.
Jelasnya, isu Palestin sudah puluhan tahun jelas menunjukkan siri penindasan dan pembunuhan yang dialami oleh mereka.
Sehingga ia menjadi kebiasaan rakyat Malaysia mengibarkan bendera bagi menunjukkan sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin di sana.
“Pembunuhan dan sebagainya mengundang simpati lalu berlakulah kempen kemanusiaan, kempen pembebasan, lagu, nasyid, pementasan, sumbangan kewangan dan usaha-usaha yang pelbagai,
“Semua itu yang berlaku dalam tempoh puluhan tahun menjelaskan kenapa bendera Palestin berkibar banyak di Malaysia, iaitu untuk menberikan sokongan kepada rakyat Palestin yang terjajah. Saya rasa jelas motif itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam konteks kibaran bendera China pula, Muhammad Fauzi menjelaskan bahawa situasi itu berbeza memandangkan terdapat banyak isu yang dilihat menggugat hak melayu, kedudukan agama Islam dan kedaulatan negara di negara ini.
Beliau menggunakan contoh seperti Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dengan rujukan silibus dari China yang kini sedang giat diusahakan pengiktirafan di Malaysia selain usaha memperkasakan sekolah vernakular yang tidak begitu memartabatkan bahasa kebangsaan.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI