Oleh Akmal Ahmad
BANGI,11 SYAWAL- Orang Melayu dan beragama Islam diingatkan supaya lebih berhati-hati dan berfikir sebelum menyertai sesuatu parti politik terutama yang bercanggah prinsip dan agama.
Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz berkata fahami asas perjuangan sesuatu parti politik sebelum terfikir untuk menyertainya.
“Kalau setakat ini kita lihat sudah ada orang-orang Melayu yang menyertai parti DAP cuma mereka perlu harus faham tentang perjuangan DAP itu sendiri.
“Kita boleh lihat asas perjuangan DAP itu dalam perlembagaan DAP itu sendiri. Saya tidak mahu bercakap mengenai karektor dan figura dalam DAP tetapi sebagai pelajar undang-undang saya lebih melihat kepada asas perjuangan parti politik DAP atau mana-mana sekalipun pada perlembagaan mereka.
“Ini kerana apabila sesuatu parti politik beroperasi dan menetapkan calon dalam pilihan raya pasti pimpinan parti akan meneliti keupayaan mereka yang dipilih memahami asas perjuangan parti.
“Jadi setiap calon atau anggota parti tidak boleh berbuat sesuatu yang bercanggah dengan aspirasi parti sebagaimana dalam perlembagaan mereka,” katanya ketika dihubungi TV Pertiwi.
Menurut Shamrahayu, beliau berharap orang Melayu yang beragama Islam melihat kembali apa asas perjuangan DAP sebelum berhajat menyertai parti itu.
“Sekiranya orang Melayu diajak menyertai parti DAP, janganlah terus setuju. Ambil masa dan fahami asas perjuangannya.
“Sebagai contoh perlembagaan DAP menyatakan asas perjuangannya seperti demokrasi liberal dan asas kepada negara ini adalah negara sekular.
“Aspirasi sebegini pasti bercanggah dengan kemahuan dan kehendak orang Melayu yang beragama Islam atau bercanggah dengan prinsip yang harus diterima oleh orang Melayu dan orang Islam,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan dua Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman nekad mendekati lebih ramai anak muda Melayu bagi menarik mereka menyertai parti itu.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi