Oleh: Yusre Mize
BANGI, Jumaat – PAS Perak menggesa siasatan terhadap perarakan yang membawa bendera China dalam satu video acara berkenaan yang berlaku di Teluk Intan yang tular baru-baru ini.
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria menggesa tindakan diambil terhadap sebarang pelakuan yang bertentangan dengan perlembagaan dan akta serta semangat perpaduan Nasional yang bertujuan menjunjung kedaulatan negara.
Tegasnya, PAS Perak mendesak satu siasatan dibuat terhadap peserta, penganjur termasuk Menteri dan Exco yang hadir secara rasmi atas kapasiti mereka sebagai wakil kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Apakah peserta yang mengibarkan bendera China tersebut warga China, atau mereka yang telah diberikan kerakyatan?”
“Ia satu tindakan melampau yang tidak setia kepada negara. Ia di promosi secara terbuka di hadapan rakyat berbilang bangsa yang berada di kawasan awam ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Razaman, program tersebut anjuran sebuah Tokong dan dirasmikan Ahli Parlimen Teluk Intan, NGA Kor Ming,Menteri Pusat dan turut dihadiri ADUN DAP mewakili Pasir Berdamar yang juga seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Ujarnya, program yang dihadiri dua wakil kerajaan Pusat dan negeri boleh dianggap program dan direstui kerajaan sekali gus telah memberi gambaran salah kepada rakyat berkaitan kedaulatan negara.
“Mengikut Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193) Seksyen 3 memperuntukan tiada seorang pun boleh mempamer mana-mana lambang Kebangsaan termasuk bendera negara Asing di tempat awam atau di sekolah.”
“Tindakan seperti ini boleh dianggap sebagai satu tindakan provokasi yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara,” tambahnya.
Tindakan sekumpulan individu yang berarak sambil mengibarkan bendera China di menara condong di Teluk Intan mencetuskan tanda tanya di media sosial.
Menerusi video berdurasi 1.43 minit itu, turut dipaparkan tarian naga dan percikan bunga api serta mercun sekali gus menyebabkan kawasan lalu lintas menjadi sesak.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#PASPerak #BenderaChina #TelukIntan