Polis telah menyerahkan lima kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata setakat ini sebanyak enam kes dilaporkan, iaitu dua di Johor, dua di Pulau Pinang serta masing-masing satu di Selangor dan Negeri Sembilan.
“Daripada jumlah itu, lima kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut, manakala satu lagi masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menghormati undang-undang dan menjaga keharmonian negara, khususnya ketika rakyat bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan.
Antara kes yang mendapat perhatian ialah insiden di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu apabila Jalur Gemilang dipasang secara terbalik. Pihak sekolah segera menurunkannya dan memohon maaf secara terbuka.
Di Pulau Pinang pula, sebuah premis perniagaan di Kepala Batas tular selepas Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik dirakam orang awam. Pemilik premis menjelaskan kejadian itu berlaku ketika beliau sedang mengukur tiang besi dan tidak menyedari kedudukan bendera, sebelum segera membetulkan kesilapan berkenaan serta membuat laporan polis.
Sementara itu di Johor, sebuah klinik pergigian di Pontian turut dikenakan tindakan selepas polis mengesahkan insiden bendera terbalik di premis berkenaan berpunca daripada kecuaian pekerja. Majlis Perbandaran Pontian kemudiannya mengarahkan penutupan operasi selama 30 hari kerana melanggar peraturan pengibaran bendera.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi