Oleh Wartawan TV Pertiwi
Pelakon Fattah Amin menafikan tidak memberikan nafkah kepada Nur Fazura Sharifuddin seperti dakwaan bekas isterinya itu hari ini.
Fattah, 34, berkata beliau mempunyai bukti pembayaran nafkah kepada pelakon filem “Pisau Cukur” bersama anak mereka Nur Fatima Aisya, 4, lapor Sinar Harian.
“Saya ada bukti penyata bank, ke mana wang saya dikeluarkan. Mungkin dia rasa tidak cukup untuk dia, tapi jangan cakap saya tidak bagi nafkah.
“Ini kerana nafkah adalah perkara asas dalam perkahwinan, setakat mengikut kemampuan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Pelakon filem “Pendekar Awang” melafazkan cerai talak satu terhadap Nur Fazura pada 9.45 pagi tadi di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.
Mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata.
Fattah berkata tidak timbul dakwaan curang seperti yang didedahkan Fazura dan ia lebih bertujuan untuk memalukan dirinya.
“Saya nafikan dakwaan itu, sebelum ini pun, peguam dia sudah jawab mengenai tiada kes curang, kenapa tiba-tiba sebut kes curang?
“Semuanya tidak betul dan saya ada bukti. Bagi saya semua tohmahan ini adalah untuk memalukan nama saya, mencemarkan nama baik saya.
“Sedangkan saya ada tahu sesuatu tentang dia tetapi kita ada perjanjian sebelum lafaz tadi untuk jaga aib masing-masing,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
#Fattzura #FattahAmin #Fazura #cerai #talak