Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 24 Jamadil Akhir — Datuk Mohd Puad Zarkashi membidas tindakan PAS melancarkan kutipan derma bagi membayar saman ahli parlimennya, Siti Mastura Muhammad.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata bekas setiausaha Dewan Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali sudah memberikan dalil untuk tidak membantu saman tersebut.
“Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata tidak salah ahli PAS bantu Siti Mastura membayar saman fitnah kepada pemimpin DAP. Hashim tidak mengemukakan dalil syarie.
“Ia dibidas oleh Khairuddin. Mana boleh bantu bayar saman sivil kerana ‘dosa fitnah’. Beliau merujuk Surah Al-Maidah yang menyebut jangan bekerjasama atas dosa dan permusuhan.
“Mungkin fitnah dalam tafsiran PAS tidak sama dengan fitnah tafsiran mahkamah. Fitnah tafsiran PAS ‘ditanggung halal’,” coretnya di laman Facebook miliknya hari ini.
Hashim pada Selasa mendakwa kutipan derma untuk wakil rakyat PAS bagi kegunaan parti tidak menjadi kesalahan malah sudah lama dibudayakan dalam parti Islam itu.
Katanya, perbuatan itu juga tidak bercanggah dengan hukum Islam kerana sikap saling bantu-membantu adalah amalan yang dituntut dalam agama Islam, lapor Sinar Harian.
Mohd Khairuddin bagaimanapun mendakwa sangat tidak wajar mengutip dana daripada masyarakat untuk membayar saman sivil kerana perlakuan dosa fitnah.
Katanya, dana sumbangan awam patut digunakan untuk aktiviti kebajikan, membantu golongan yang dizalimi, dakwah dan pendidikan.
“Bukannya membantu orang yang menzalimi maruah orang lain dengan fitnah dan cerita rekaan meskipun bukan Islam hatta musuh sekalipun,” katanya.
Puad berkata apa juga pendekatan PAS, parti Islam itu akan mampu mengumpulkan dana untuk Siti Mastura berdasarkan latar belakang ahli mereka.
Katanya, apa yang lebih penting adalah PAS kini cuba meraih simpati rakyat dengan mengumpulkan dana terhadap isu yang dimainkan.
“Berapa agaknya jumlah kutipan yang terkumpul untuk bantu saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas? Dalam PAS ramai jutawan yang boleh tolong bayar.
“Tetapi strategi PAS ialah untuk mensensasikan isu itu untuk meraih simpati rakyat,” katanya.
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang awal bulan ini memerintahkan Siti Mastura membayar ganti rugi RM200,000 kepada Ahli Parlimen DAP Teresa Kok.
Siti Mastura turut diarahkan membayar ganti rugi RM300,000 kepada veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang dan RM250,000 kepada Pengerusi DAP Lim Guan Eng.
Ahli Parlimen Kepala Batas itu turut diperintah membayar kos RM25,000 kepada ketiga-tiga pemimpin DAP itu.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI