Oleh Wartawan TV Pertiwi
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor hari ini memohon maaf kepada Sultan Selangor susulan kenyataannya pada 11 Julai tahun lalu.
Menteri Besar Kedah itu berkata beliau amat kesal dengan kenyataan yang dianggap menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan Sultan Sharafuddin Idris Shah di atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023.
“Patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang timbul daripada kenyataan patik tersebut.
“Patik ingin menyembah maklum kepada Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan Tuanku yang amat patik hormati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengarah Pilihan Raya PAS itu dalam satu ceramah di Taman Selayang Mutiara, Selangor pada Julai tahun lalu mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Beliau dalam satu video tular di media sosial dilihat cuba meremehkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam kenyataan sama, Sanusi berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan memastikan ucapannya selaras dengan adab budaya Melayu.
“Patik sedar apabila patik hadir ke negeri orang khususnya berkaitan kes patik ini apabila berada di Selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab.
“Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik memohon beribu keampunan kepada Tuanku dan Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.
Klik http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#TVPertiwi #SanusiMdNor #SultanSelangor #MBKedah