Oleh Wartawan TV Pertiwi
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kecewa dengan keputusan mahkamah yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM1.35 juta.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kenyataannya di laman Facebook pada tahun lalu tidaklah berbaur fitnah dan beliau sedia mengemukakan rayuan.
“Walau saya menghormati keputusan mahkamah namun saya sangat kecewa dengan keputusan itu.
“Saya sudah mengarahkan peguam-peguam saya untuk merayu terhadap keputusan itu,” coretnya di laman Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi RM1.35 juta ringgit kepada Pengerusi DAP Lim Guan Eng.
Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain mengeluarkan perintah itu selepas mendapati pihak Lim berjaya membuktikan kes.
Roz Mawar berkata, Muhyiddin mempunyai pelbagai sumber untuk membuat semakan namun cenderung mengeluarkan kenyataan fitnah.
Ahli Parlimen Pagoh diarah membayar ganti rugi RM350,000 bagi setiap kenyataan berjumlah RM1.05 juta ganti rugi am, RM150,000 ganti rugi teruk dan RM150,000 ganti rugi teladan.
Muhyiddin berkata berkata beliau akan mengemukakan rayuan kepada mahkamah kerana percaya kenyataannya itu tidak berbaur fitnah.
“Saya percaya kenyataan saya tidak berunsur fitnah dan saya mempunyai hujah pembelaan terhadap saman yang jumlah ditetapkan mahkamah itu berlebihan.
“Merujuk keputusan mahkamah, saya akan memadamkan semua kiriman tersebut daripada Facebook dan akaun media sosial lain.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI