Oleh Yusre Mize
BANGI, Selasa – Satu kerugian besar dalam peluang yang tidak akan berulang sekiranya khutbah Jumaat di Malaysia tidak menyentuh tentang setahun Taufan al-Aqsa yang berlaku sejak 7 Oktober tahun lalu.
Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, salah satu bukti keprihatinan kita terhadap pembebasan Palestin adalah dengan sering berbicara dan mengulang-ngulang menyebutnya dalam setiap peluang yang terbuka.
Jelasnya, keprihatinan perlu kepada pembuktian dan apa yang keluar daripada lisan adalah yang terbuku di dalam hati untuk disampaikan kepada masyarakat supaya faham dan perlu kepada tindakan yang diimpikan dalam usaha pembebasan Palestin.
Malah katanya, khutbah Jumaat adalah satu-satunya wasilah mingguan yang boleh menyampaikan mesej kepada semua mukallaf lelaki secara pendek dan berkesan dalam menyampaikan mesej.
Sehubungan itu, Ustaz Fauzi berharap khutbah Jumaat kali ini dapat menyampai mesej kepada umat Islam di Malaysia tentang situasi genting tentang apa yang berlaku terhadap saudara Islam di Timur Tengah.
“Di Selangor sudah ada dua khutbah berkenaan GISB dan masyarakat sudah faham.
“Fahamkanlah pula masyarakat tentang situasi genting di Palestin dan sedarkan kepada mereka tanggungjawab mereka terhadap Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 29 September dan 4 Oktober lalu memaparkan khutbah di Selangor berkaitan GISB dengan tajuk “Kenapa GISB Buat Begini Kepada Kanak-kanak?” dan “Betulkan Akidah Pengikut GISBH”.
Sejak Taufan Al-Aqsa hanya satu kali sahaja khutbah Jumaat di Selangor yang berkisarkan tentang Palestin iaitu pada 24 November 2023 dengan tajuk Ibrah dan Pengajaran Umat Islam Palestin.
Selain itu, carian menerusi portal e-Khutbah Selangor memaparkan khutbah tentang topik Palestin pernah disampaikan lebih 10 tahun dahulu iaitu pada 1 Januari 2012 dengan tajuk Ayuh Selamatkan Palestin.
#TVPertiwi
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.
Klik http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#khutbahJumaat #JAIS #Selangor #BebaskanP4lestin