TEHRAN, 15 RAMADAN – Lebih 1,000 orang dilaporkan terkorban setakat ini susulan serangan berterusan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran yang kini memasuki hari kelima.
Media rasmi Iran melaporkan jumlah kematian meningkat kepada 1,045 orang sejak operasi ketenteraan itu bermula Sabtu lalu, manakala lebih 6,000 lagi cedera.
Serangan udara terbaharu menyasarkan ibu negara Tehran, bandar suci Qom serta beberapa kawasan di wilayah Isfahan dan barat Iran, menurut agensi berita Tasnim. Beberapa kawasan kediaman awam turut dilaporkan mengalami kerosakan.
Israel mendakwa pihaknya menyasarkan bangunan milik Basij, pasukan sukarelawan separa tentera di bawah Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), selain premis yang dikaitkan dengan perintah keselamatan dalaman Iran.
Laporan dari Tehran menyebut kempen serangan dilancarkan secara berterusan dan tidak mengecualikan mana-mana wilayah atau bandar.
Dalam kalangan mangsa, kira-kira 300 kanak-kanak dan remaja dilaporkan dimasukkan ke hospital.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memaklumkan kerosakan turut dikesan pada dua bangunan berhampiran tapak nuklear Isfahan. Bagaimanapun, tiada kerosakan pada kemudahan yang mengandungi bahan nuklear dan tiada risiko kebocoran radiasi dilaporkan setakat ini.
Dalam perkembangan berkaitan, majlis pengebumian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang dijadualkan berlangsung minggu ini ditangguhkan atas faktor logistik dan keselamatan.
Khamenei dilaporkan terbunuh dalam gelombang awal serangan AS-Israel, yang turut mengorbankan beberapa pegawai kanan termasuk Menteri Pertahanan Iran.
Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron ke atas Israel serta pangkalan tentera AS di rantau Teluk. Walaupun kebanyakan serangan dipintas, sebahagiannya dilaporkan mengenai sasaran ketenteraan dan infrastruktur.
Susulan kematian Khamenei, kepimpinan tertinggi Iran kini dalam proses memilih pengganti baharu ketika negara berada dalam keadaan peperangan.
Presiden AS, Donald Trump, dalam kenyataan terbaharu berkata konflik itu berkemungkinan berlanjutan beberapa minggu lagi dan mendakwa kepimpinan Tehran kini dalam keadaan tidak stabil.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi