Perang Iran-Israel: Naratif media tentukan mangsa dan penyangak

BANGI, 19 ZULHIJJAH — Dalam konflik bersenjata, kebenaran sering menjadi korban pertama.

Apabila peluru berpandu Iran menghentam Tel Aviv, Haifa dan Ashkelon dalam tindak balas terhadap serangan Israel ke atas Tehran minggu lalu, gelombang kedua yang muncul tidak kurang dahsyat, iaitu naratif media antarabangsa yang kembali membingkai peristiwa melalui lensa berat sebelah.

Media arus perdana global seperti CNN, BBC, The New York Times dan Reuters, memaparkan liputan menyeluruh dari sudut pandang Israel, dengan penekanan kepada ancaman terhadap keselamatan negara itu, penderitaan rakyatnya dan keupayaan pertahanan mereka melalui sistem Iron Dome. 

Namun dalam laporan yang sama, hanya sedikit, malah boleh dikatakan hampir tiada konteks diberikan terhadap serangan awal Israel ke atas wilayah Iran yang mencetuskan kemarahan Tehran, termasuk pembunuhan bersasar pegawai kanan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC).

Satu pola berulang dapat dikesan dengan Israel digambarkan sebagai mangsa keganasan. Iran pula dilabelkan sebagai penyangak yang tidak rasional. 

Apabila Israel menyerang, tindakan itu dilaporkan sebagai tindakan mempertahankan diri. Apabila Iran menyerang walaupun sebagai tindak balas terhadap pencabulan wilayah, tindakan itu dilabelkan sebagai provokasi berbahaya dan ancaman terhadap kestabilan serantau.

Tajuk berita di media Barat memperkukuh naratif ini. “Israel under fire” atau “Iran launches aggression” lebih banyak dipaparkan berbanding tajuk yang menelusuri bagaimana konflik tercetus. Liputan terhadap mangsa di pihak Iran, kerosakan awam, atau kenyataan rasmi pemimpin negara itu tidak diberi ruang setara.

Malah, agensi berita seperti IRNA, Press TV dan Al Mayadeen sering diketepikan atas alasan tidak neutral, walaupun membawa perspektif penting dari sisi yang jarang diberi suara.

Isunya bukan hanya berat sebelah dari sudut editorial, tetapi struktur yang mendalam dalam industri media global. Barat telah lama membentuk kerangka wacana dengan Israel dianggap sekutu ‘demokrasi liberal’ yang sentiasa dalam posisi mempertahankan diri, manakala negara seperti Iran, Syria dan Lubnan digambarkan sebagai pencetus masalah.

Kerangka ini berpunca daripada sejarah panjang hubungan strategik Israel-Amerika Syarikat, trauma Perang Dunia Kedua yang masih membayangi Eropah, serta peranan lobi Zionis dalam industri media dan perfileman.

Sejak Revolusi Islam 1979, Iran bukan sahaja dimomokkan sebagai ancaman kepada Israel, tetapi kepada “dunia bebas” secara umum. Akibatnya, setiap tindakan Iran dilihat dari sudut negatif, tanpa mempertimbangkan bahawa negara itu juga berdepan sekatan ekonomi, operasi rahsia agensi perisikan Israel – Mossad, serta siri pembunuhan terhadap saintis nuklear.

Lebih membimbangkan, naratif media itu menular ke dalam dasar luar negara Barat. Persepsi awam yang dibentuk melalui berita dan imej akhirnya mendorong sokongan politik yang tidak seimbang.

Bantuan ketenteraan kepada Israel terus mengalir, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) disekat melalui kuasa veto, manakala penderitaan rakyat di Palestin, Yaman dan Syria  jarang menjadi keutamaan.

Laporan media Barat yang berat sebelah bukan perkara baharu seperti yang dapat dilihat sepanjang kempen ketenteraan Israel di Gaza sejak lebih setahun lalu. Media Barat sering menampilkan kecenderungan berat sebelah dalam liputan dan mengelirukan khalayak awam mengenai konflik yang berlaku.

Sejarawan Timur Tengah Amerika Syarikat, Assal Rad, berpandangan sikap berat sebelah itu adalah sebahagian daripada pola lama yang menggambarkan tindakan ketenteraan Israel dengan cara yang meminimumkan kesannya terhadap rakyat Palestin, sambil mengukuhkan naratif berkaitan keselamatan dan penderitaan di pihak Israel.

“Media adalah tempat masyarakat memperoleh maklumat,” katanya yang menekankan cara media Barat memainkan peranan utama dalam memanipulasi orang ramai memahami konflik itu, sejajar dengan naratif yang dibentuk oleh Amerika Syarikat dan Israel.

Pengarah Penyelidikan di National Iranian American Council itu menyatakan berat sebelah sering berlaku melalui tajuk-tajuk berita yang mengelirukan dan menyembunyikan fakta, bukan melalui penapisan langsung.

Sebagai contoh, tajuk-tajuk berita mengenai tindakan ketenteraan Tel Aviv selalunya disampaikan sebagai fakta objektif, seperti “Israel menyasarkan Hizbullah”, tanpa mempersoalkan kesahan atau akibat tindakan tersebut.

Dalam konteks konflik Iran-Israel sekarang, hampir tidak ada liputan mendalam yang mengupas persoalan undang-undang antarabangsa, prinsip kedaulatan, atau hak sesebuah negara untuk membalas tindakan ketenteraan terhadap wilayahnya. 

Soalan yang patut dibangkitkan ialah adakah tindakan Israel menyerang Tehran dengan membunuh pegawai tentera tinggi dianggap sah? Jika tidak, mengapa tindakan balas Iran dilihat sebagai ancaman global?

Maklum balas dunia Islam juga menerima nasib yang sama. Kenyataan dari Turkiye, Qatar, Pakistan atau Malaysia  sendiri hampir tidak mendapat tempat dalam laporan utama media Barat. 

Sebaliknya, hanya kenyataan dari Washington, London dan Paris yang dianggap “rasmi” atau penting. Ini mencerminkan struktur kuasa dalam industri media global, iaitu siapa memiliki agensi berita, siapa menetapkan agenda dan siapa dianggap sumber yang sah.

Namun di sebalik dominasi naratif itu, muncul juga ruang untuk suara alternatif. Media seperti Middle East Eye, Al Jazeera, serta wartawan bebas dari Asia Barat memainkan peranan penting dalam menawarkan konteks sejarah, memberi ruang kepada mangsa dari kedua-dua belah pihak, serta mempersoalkan dwistandard dalam liputan konflik. 

Namun pengaruh mereka masih belum mampu menandingi gelombang besar naratif dari pusat-pusat kuasa media Barat.

Bagi media bebas seperti TV Pertiwi, konflik ini menuntut satu ketegasan moral: untuk tidak menjadi ejen kepada wacana berat sebelah, sebaliknya menjadi medan yang fakta, keadilan dan kemanusiaan dapat ditegakkan secara jujur. 

Wartawan bukan sekadar melaporkan apa yang berlaku, tetapi bertanggungjawab terhadap bagaimana sesuatu itu dilihat, dirasai dan ditafsirkan oleh khalayak.

Selagi peluru berpandu terus dilancarkan dan dunia terpecah kepada yang disokong dan yang didiamkan, naratif adalah senjata paling senyap, tetapi menjadi penentu dalam peperangan moden.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

GST: ‘Siapa yang patut pergi kursus, rakyat atau Perdana Menteri?’ – GPS

Next Post

Negara Islam tidak akan ke mana selagi berpegang kepada sistem Barat – GSPP

Related Posts