Trump dakwa Ali Khamenei terbunuh dalam serangan AS-Israel, Iran nafi

TEHRAN, 11 RAMADAN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh dalam serangan AS bersama Israel yang dilancarkan ke atas Iran awal Sabtu.

Dalam hantaran di platform Truth Social miliknya, Trump mendakwa Khamenei, 86, terbunuh hasil operasi ketenteraan yang menurutnya dilaksanakan dengan sokongan perisikan berteknologi tinggi.

“Kami menjejakinya melalui sistem perisikan dan penjejakan yang sangat canggih. Dengan kerjasama rapat bersama Israel, tiada apa yang beliau atau pemimpin lain yang turut terbunuh bersamanya dapat lakukan,” dakwa Trump.

Trump turut menyifatkan perkembangan itu sebagai “peluang terbaik” untuk rakyat Iran mengambil semula negara mereka. Beliau berharap Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan pasukan polis Iran akan bergabung secara aman dengan apa yang disebutnya sebagai “patriot Iran”.

Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa terdapat “petanda yang semakin jelas” bahawa Khamenei telah terbunuh.

Agensi berita Reuters, memetik seorang pegawai kanan Israel yang tidak dinamakan, turut melaporkan bahawa mayat Khamenei telah ditemui.

Bagaimanapun, dua agensi berita Iran, Tasnim News Agency dan Mehr News Agency menafikan dakwaan tersebut dengan melaporkan bahawa Khamenei kekal teguh dan memimpin di lapangan.

Dalam kenyataan yang dilihat sebagai respons terhadap dakwaan itu, ketua perhubungan awam pejabat Khamenei menuduh musuh Iran melancarkan perang psikologi” bagi mengelirukan rakyat.

“Musuh sedang menggunakan perang psikologi; semua pihak perlu berwaspada,” menurut kenyataan yang dipetik media rasmi Iran.

Wartawan Al Jazeera yang melaporkan dari Tehran berkata setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Iran berhubung dakwaan kematian pemimpin tertinggi itu.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dalam wawancara bersama NBC News sebelum ini memaklumkan bahawa “setakat pengetahuannya”, Khamenei serta beberapa pegawai kanan lain berada dalam keadaan sihat.

Serangan yang bermula awal Sabtu itu dilaporkan menyasarkan 24 wilayah di seluruh Iran dan mengorbankan sekurang-kurangnya 201 orang, menurut media tempatan yang memetik Bulan Sabit Merah Iran.

Setakat ini, percanggahan maklumat antara Washington dan Tehran terus mencetuskan ketegangan, dengan komuniti antarabangsa menunggu pengesahan rasmi berhubung nasib pemimpin tertinggi republik Islam tersebut. – Al Jazeera

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Gerrymandering, persempadanan semula beri kelebihan kepada parti pemerintah – penganalisis

Next Post

Pihak hina Islam mesti dikenakan tindakan setimpal ikut peruntukan undang-undang

Related Posts