KHAMIS, 6 JANUARI – 19 individu etnik Islam Uyghur di Turki memfailkan aduan jenayah ke atas pihak berkuasa China, atas dakwaan melakukan pembunuhan beramai-ramai, penyeksaan, merogol serta jenayah kemanusiaan.
Peguam Gulden Sonmez berkata, tindakan itu perlu kerana badan antarabangsa tidak bertindak terhadap pihak berkuasa China yang dituduh menyeksa etnik Uyghur sebagai buruh paksa, termsuk menahan sejuta minoriti Islam di kem sejak 2016.
“Mahkamah jenayah antarabangsa sepatutnya sudah memulakan perbicaraan ini, tetapi China adalah ahli Majlis Keselamatan PBB dan nampaknya tidak mungkin dalam dinamik ini,” kata Sonmez.
Aduan difailkan di Pejabat Ketua Pendakwa Istanbul pada Selasa.
Aduan itu berkaitan dengan 116 orang yang menurut pengadu masih ditahan di China dan difailkan terhadap 112 pihak termasuk anggota Parti Komunis China, pengarah dan pegawai kem buruh.
“Perundangan Turki mengiktiraf bidang kuasa sejagat. Penyeksaan, pembunuhan beramai-ramai, rogol dan jenayah kemanusiaan boleh didakwa di mahkamah Turki dan penjenayah boleh dibicarakan,” kata Sonmez.
China pada awalnya menafikan kem itu wujud, namun kemudian mendakwa kononnya ia adalah sebuah pusat vokasional dan diwujudkan untuk memerangi ekstremisme.
Negara itu menafikan semua tuduhan penderaan.
Kira-kira 50,000 etnik Uyghur – yang berkongsi hubungan etnik, agama dan bahasa dengan Turki – dipercayai menetap di negara itu, iaitu diaspora Uyghur terbesar di luar Asia Tengah.
Setakat ini, Kedutaan China di Turki dan pejabat pendakwa belum mengulas mengenai aduan jenayah terbabit.- Agensi
-ismaweb.net