BANGI, 8 SYAABAN – Hampir 800,000 kanak-kanak berumur enam dan tujuh tahun yang serentak memasuki Tahun Satu pada 2027 akan memberi cabaran besar terhadap keperluan fizikal sekolah, iaitu jumlah bilik darjah dan guru yang mencukupi.
Pensyarah Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata berdasarkan maklum balas awal ibu bapa, hampir semua bersetuju mendaftarkan anak-anak mereka memasuki sekolah pada usia enam tahun.
Katanya, ibu bapa tidak mahu anak-anak ketinggalan pembelajaran, selain dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga kerana tidak perlu menanggung kos yuran prasekolah untuk satu tahun.
“Jika kita ambil anggaran kasar, sekitar 420,000 hingga 450,000 anak-anak memasuki Tahun Satu setiap tahun, maka tahun hadapan apabila anak-anak umur tujuh dan enam tahun masuk sekolah sekali gus, jumlahnya dianggarkan akan mencecah 800,000 murid,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang Dewan Rakyat, hari ini, berkata kerajaan bersetuju supaya ujian diagnostik ditiadakan bagi kemasukan murid ke Tahun Satu pada usia enam tahun bagi mengelak kanak-kanak tercicir daripada sistem persekolahan dan mengalami kerugian pembelajaran sehingga setahun.
Ini membuka jalan kepada semua kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun Satu pada 2027, serentak dengan mereka yang berusia tujuh tahun
Dr Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) berkata, sekolah rendah hanya mempunyai kapasiti untuk anak-anak berumur tujuh tahun.
Sehubungan itu, katanya tambahan satu kohort berumur enam tahun menyebabkan sekolah memerlukan sekali ganda jumlah bilik darjah dan guru.
“Masa yang ada untuk buat persiapan tambahan kelas dan guru sudah kurang dari setahun. Ibu bapa mula bertanya, mampukah KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) menyediakan bilik darjah dan guru tambahan?” katanya.
Dr Anuar berkata, Menteri Pendidikan sendiri beberapa hari lalu memberi jaminan bahawa jumlah bilik darjah dan guru akan mencukupi untuk menampung pertambahan murid pada tahun hadapan.
Berikutan, kaedah penyelesaian belum dimuktamadkan , beliau mengemukakan beberapa cadangan untuk KPM pertimbangkan.
“Kaedahnya mesti melihat keperluan mengikut sekolah. Lain sekolah lain penyelesaiannya. Misalnya ada sekolah yang boleh kembalikan amalan sekolah dua sesi, membina bilik darjah secara IBS dan membina bilik darjah guna kontena.
“Ada juga sekolah boleh menempatkan sementara murid Tahun Satu yang berusia enam tahun di (kemudahan) prasekolah swasta dan naik ke tahun dua pada 2028 apabila bilik darjah baru siap dibina di sekolah,” katanya.
Beliau yang menyambut baik dasar memulakan persekolahan pada usia enam tahun berkata, sekarang adalah masa untuk semua pihak menyokong penuh usaha KPM menjayakan dasar itu.