PUTRAJAYA, Selasa – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan bahawa beliau pernah menerima sebarang bayaran daripada Ultra Kirana Sdn Bhd UKSB.
Khairy berkata, dirinya tidak pernah menerima apa-apa sumbangan secara peribadi seperti mana yang dilaporkan bahkan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya sekiranya dipanggil pihak berkuasa.
“…saya nak nyatakan bahawa saya tak pernah terima apa-apa secara peribadi seperti mana telah pun dilaporkan…saya tak pernah terima wang dalam kes tersebut…jika dipanggil oleh mana-mana pihak saya bersedia beri kerjasama sepenuhnya…’
Khairy berkata demikian selepas sesi dialog Menteri Kesihatan sempena Persidangan Pengarah-Pengarah Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia KKM hari ini. Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau antara ahli politik yang namanya turut dikaitkan turut menerima bayaran peribadi dari UKSB.
Pada 13 Jun 2022, Bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Wan Quoris Shah, 42 tahun, memberitahu Mahkamah Tinggi, Shah Alam, bahawa syarikatnya memberi sumbangan dana politik antara RM50,000 hingga RM200,000 kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Bagaimanapun, katanya, wang untuk tujuan bantuan politik, bencana dan aktiviti kemanusiaan itu tidak diserahkan secara terus kepada Khairy, sebaliknya diberikan menerusi UMNO Bahagian Rembau di mana Khairy adalah Timbalan Ketua UMNO di bahagian terbabit.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM Sabtu lalu memaklumkan akan membuka kertas siasatan terhadap penama yang dikatakan menerima wang dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.
Empat lagi ialah Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman. Zahid didakwa atas 40 pertuduhan menerima rasuah dalam pelbagai mata wang berjumlah lebih RM48 juta pada kadar pertukaran semasa.
Dia didakwa menerima dorongan itu atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri antara 2014 dan 2018 untuk melanjutkan kontrak UKSB untuk mengendalikan sistem visa asing.
Pautan FB : https://www.facebook.com/TvPertiwi/
Berita Semasa : https://tvpertiwi.com/2022/06/21/umno-dalam-bahaya-jika-terus-beri-muka-pada-mca-ridhuan-tee/