BANGI, 2 JAMADILAWAL – Lim Guan Eng menyifatkan Perdana Menteri mencetuskan kegusaran besar dan rasa tidak puas hati mendalam dalam kalangan masyarakat Cina berhubung isu arak di sekolah Cina.
Beliau yang juga Penasihat DAP berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya di Parlimen semalam menyatakan bahawa arak tidak boleh dihidangkan di kawasan sekolah dalam dewan awam yang dibina sepenuhnya melalui dana masyarakat Cina.
Katanya, amalan kebiasaan membenarkan arak dihidangkan dalam majlis seperti perkahwinan masyarakat Cina, makan malam kuil, acara hiburan di dewan sekolah Cina di luar waktu aktiviti sekolah tanpa penglibatan pelajar berterusan tanpa gangguan sejak merdeka pada 1957.
“Walaupun Anwar menegaskan bahawa larangan arak bukan bertujuan untuk mengenakan nilai dan pandangan Islam dengan menyekat hak bukan Islam, tetapi untuk menegakkan sekolah sebagai tempat pendidikan anak-anak, masyarakat Cina tidak bersetuju.
“Ini kerana sekolah rendah Cina terkenal sebagai institusi pendidikan cemerlang dan pelajarnya tidak terdedah kepada arak serta terbukti mempunyai akhlak dan nilai moral yang baik.
“Jumlah kes rogol, liwat atau penderaan seksual terhadap kanak-kanak di sekolah Cina adalah rendah, jika ada, berbanding jenis sekolah lain,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Bagan berkata, ketidakpuasan hati masyarakat Cina berpunca daripada persoalan mengapa Anwar membiarkan dirinya tunduk kepada kehendak golongan ekstremis dan rasis dengan mencampuri, mengganggu serta menggugat amalan tradisi yang tidak pernah menimbulkan kontroversi atau memberi kesan negatif ke atas masyarakat Islam.
Malah ketika PAS berada dalam kerajaan, katanya parti itu tidak pernah mencampuri urusan sekolah rendah Cina dan aktiviti seumpama ini diteruskan tanpa gangguan di dewan sekolah Cina.
“Persoalan lanjut timbul: di manakah had larangan ini akan berakhir? Adakah selepas arak, sasaran seterusnya ialah daging babi?
“Memandangkan daging babi diharamkan di institusi kerajaan, adakah sekolah rendah Cina juga akan menyaksikan larangan penyediaan daging babi dalam majlis tradisi seperti perkahwinan Cina, makan malam kuil dan acara hiburan?” katanya.
Beliau berkata, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, memahami kebimbangan masyarakat Cina dan telah mengambil inisiatif untuk berunding dengan Perdana Menteri bagi mencari penyelesaian yang boleh diterima agar masyarakat Cina dapat meneruskan amalan tradisi dan kebiasaan mereka di dewan sekolah rendah Cina.
Sebelum ini, katanya Loke berjaya memastikan semua pelajar cemerlang SPM mendapat tempat di program matrikulasi dan setiap pelajar cemerlang STPM diterima masuk ke kursus pilihan mereka di universiti awam.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi