BANGI, 2 JAMADILAWAL – Presiden Parti BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim menegaskan bahawa hak pemilik tanah mesti diberi perhatian sewajarnya dalam Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar (URA), yang kini sedang dalam proses semakan sebelum bacaan kedua di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, berdasarkan perbahasan dan dapatan konvensyen URA, banyak kelemahan dan kelonggaran dalam RUU itu, terutamanya berkaitan perlindungan pemilik tanah.
“Hak tuan tanah dalam URA terlalu minima. Banyak kelonggaran, manakala kuasa menteri sangat besar kerana beliau boleh mengadakan apa-apa kaedah untuk menjayakan RUU ini.
“Sepatutnya ada ruang perbincangan dan persetujuan bersama,” katanya.
Ustaz Zamani menegaskan bahawa RUU itu sepatutnya lebih seimbang antara kepentingan pemaju dan pemilik tanah.
Justeru, beliau menasihatkan kerajaan supaya mengambil kira pandangan rakyat dan pakar, serta memastikan mekanisme perlindungan hak pemilik tanah diperkuat sebelum sebarang bacaan lanjut dijalankan.
“Sebarang pelaksanaan pembangunan semula bandar perlu memastikan hak rakyat tidak terabai dan tidak hanya berpihak kepada kepentingan ekonomi pemaju semata-mata,” katanya.
URA dibentangkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dengan tujuan mengawal dan mempercepatkan pembangunan semula kawasan bandar lama.
Namun, rang undang-undang itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk pembangkang, NGO, dan ahli akademik.
Ini kerana kuasa luas diberikan kepada menteri, perlindungan hak tuan tanah terlalu minima, proses rundingan dan persetujuan bersama tidak diwajibkan, serta dinilai lebih memihak kepada pemaju berbanding pemilik tanah dan komuniti asal.
Kekurangan ini menimbulkan kebimbangan bahawa pelaksanaan URA boleh menjejaskan hak rakyat dan nilai sejarah kawasan bandar.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi