Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Khamis – Kelulusan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) di Dewan Rakyat pada 9 Disember lepas jelas mengkhianati agenda Reformasi dan Kebebasan Bersuara Rakyat, kata Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Beliau berkata, walaupun pindaan itu meningkatkan kawalan ke atas jenayah siber, ia mengundang kebimbangan serius mengenai kebebasan bersuara, privasi dan peranan media yang bebas.
Katanya, pindaan Akta 588 yang kabur membuka ruang untuk ditafsirkan secara meluas, subjektif dan terlalu umum boleh mendorong kepada penyalahgunaan kuasa, penyiasatan dan pendakwaan berpilih kerajaan ke atas opihak yang mengkritik dan menentang kerajaan.
“Pindaan ini bersifat represif dan regresif, serta mengesahkan hakikat bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) jauh lebih bersifat demokrasi, terbuka dan lebih terkehadapan berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam mengendalikan kebebasan media dan kebebasan bersuara rakyat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pada masa sama, Tun Faisal turut mengemukakan beberapa asas kepada bantahan terhadap pindaan itu.
Bagi asas yang merujuk kepada Seksyen 233, beliau berkata, penggunaan istilah ‘komen jelik’ kepada ‘komen jelik melampau’ dan tambahan elemen ‘mengelirukan; memperkenalkan tafsiran kabur yang mudah disalah guna.
Katanya ia membuka ruang untuk tindakan terhadap kritikan yang sah terhadap kerajaan dan institusi awam, melanggar hak kebebasan bersuara sebagaimana dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, beliau berkata, kuasa untuk mendedahkan data pengguna media sosial bakal menimbulkan risiko serius terhadap privasi rakyat dan boleh mengundang kepada penyalahgunaan kuasa serta ancaman kepada kebebasan individu.
Justeru, Tun Faisal menyeru orang ramai untuk terus mendesak kerajaan agar mengkaji semula pindaan akta itu bagi memastikan ia tidak digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara dan media.
“Istilah yang kabur dan seksyen yang terlalu luas dan subjektif untuk tafsiran mesti dinyatakan secara lebih jelas dan speseifik terhadap jenayah yang ingin dikawal.
“Ia supaya tidak disalah tafsir dan disalah guna untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat dan kebebasan media.
“Seksyen 233 sering kali digunakan untuk menekan dan menakut-nakutkan rakyat daripada bersuara dan mengkritik kerajaan,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI