BANGI, 1 JAMADILAWAL – Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia menyatakan sokongan terhadap cadangan agar Malaysia Airlines (MAS) tidak menghidangkan arak atau sekurang-kurangnya tidak memaksa kru kabin Muslim terlibat dalam penyediaan minuman itu yang jelas bertentangan dengan hukum Islam.
Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berpandangan isu berhubung penyediaan arak dalam pesawat bukan soal politik kepartian, sebaliknya membabitkan prinsip agama.
“Saya bukan ahli PAS tetapi saya menyokong cadangan Ahli Parlimen PAS agar Malaysia Airlines tidak menghidangkan arak atau sekurang-kurangnya tiada kru kabin Muslim yang terpaksa menghidangkan arak bertentangan dengan hukum Islam.
“Ini bukan isu parti, ia isu agama,” katanya dalam kenyataan di media sosial, hari ini.
Selain soal arak, Zainul Rijal yang juga peguam kanan berkata, syarikat penerbangan nasional wajar memberi pilihan berpakaian menutup aurat kepada kru kabin Muslim sebagai menghormati tuntutan agama.
“Saya juga telah lama menyarankan mereka diberi pilihan berpakaian menutup aurat,” ujarnya.
Isu hidangan arak oleh MAS diperkatakan selepas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dari PAS ketika sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini mencadangkan agar syarikat penerbangan nasional menilai semula dasar sedia ada kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam serta kedudukan Islam dalam Perlembagaan.
Namun, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, dalam sidang yang sama secara sinis mencadangkan PAS menubuhkan syarikat penerbangan sendiri iaitu ‘PAS Airlines’ susulan bantahan terhadap hidangan alkohol dalam penerbangan MAS.
Beliau memberi alasan bahawa pilihan untuk mengambil minuman beralkohol adalah hak individu yang diberikan kepada bukan Islam.
Pelbagai pihak yang menyokong cadangan tersebut pula menyatakan bahawa isu larangan arak dalam syarikat penerbangan jika dilihat dengan lebih luas dan rasional bukan soal hak semata-mata, sebaliknya menyentuh aspek keselamatan awam, kesihatan, sensitiviti sosial dan maruah negara.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi