BANGI, 1 JAMADILAWAL – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menempelak kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang menyelar cadangan supaya memansuhkan hidangan arak dalam penerbangan.
Dalam hantaran di media sosial, Ahmad Fadhli berkata bukan semua airlines terkemuka dunia menghidangkan arak.
“Lebih baik buat DAP Airlines. Hidang arak sahaja, tak perlu hidangan lain. MP Kepong boleh buat pelancaran.
“Bukan semua arlines terkemuka di dunia hidangkan arak, tak perlulah prejudis sangat dengan cadangan mansuhkan hidangan arak,” katanya pada Rabu.
Semalam, Lip Eng ketika berucap di Dewan Rakyat berkata, cadangan untuk mansuh arak daripada parti pembangkang sebagai “tidak demokratik” dengan menekankan bahawa pilihan untuk mengambil minuman beralkohol adalah hak individu yang diberikan kepada bukan Islam.
“Syarikat penerbangan dari negara-negara muslim, dari Arab seperti Emirates, Etihad, Gulf Air sendiri hidangkan arak.
“Kepada PAS, jika begitu tak suka, saya cadangkan tubuhkan syarikat sendiri, panggil PAS Airlines. Nantikan berapa lama PAS Airlines boleh tahan sebelum bankrup,” sindir Lim semasa perbahasan Belanjawan 2026.
Minggu lalu, Ahli Parlimen PAS Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengulangi gesaan parti itu agar MAS berhenti menghidangkan alkohol dalam penerbangan, dengan alasan pramugari dan pelanggan beragama Islam berada dalam dilema yang tidak selesa disebabkan perkara itu.
“Ini bukan tentang menafikan hak sesiapa – ia mengenai menghormati agama dan sensitiviti majoriti rakyat Malaysia,” katanya kepada Dewan Rakyat ketika itu.
Pada 2017, Ahmad Fadhli telah mengeluarkan cadangan yang sama selepas seorang penumpang, yang dipercayai mabuk, telah memasuki kokpit penerbangan Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur, memaksa pesawat itu berpatah balik ke Melbourne.
Tahun sebelumnya, Rayani Air, sering disebut-sebut sebagai syarikat penerbangan halal pertama di Malaysia yang disahkan sepenuhnya, menutup operasinya selepas hanya lima bulan berikutan isu pengurusan, keselamatan, mogok juruterbang dan kekurangan dana.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi