Pesalah Bawah Umur: Bolehkah Dibicarakan Seperti Orang Dewasa?

BANGI, 24 RABIULAKHIR – Isu penglibatan kanak-kanak dan golongan remaja dalam jenayah berat kini menarik perhatian masyarakat umum terutama apabila dua insiden yang menggemparkan negara ini dalam tempoh seminggu.

Insiden yang dimaksudkan merujuk kepada penglibatan empat pelajar Tingkatan 5 dalam kes merogol pelajar Tingkatan 3 di sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka manakala satu lagi ialah kes seorang pelajar Tingkatan 4 maut ditikam oleh seorang pelajar Tingkatan 2 di sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Susulan daripada dua insiden ini, rata-rata masyarakat menggesa supaya pelaku – yang mana suspek-suspek terlibat berusia bawah 18 tahun – dihadapkan di mahkamah dan dibicarakan sebagai orang dewasa agar mereka dijatuhkan hukuman berat.

Ini kerana, masyarakat umum berpandangan bahawa semua suspek ini telah melakukan jenayah berat dan mendatangkan kesan yang sangat mendalam kepada mangsa atau keluarga mereka.

Adakah pesalah bawah umur boleh dibicarakan sebagai orang dewasa?

Menjelaskan perkara ini, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, peruntukkan undang-undang jelas menyatakan bahawa pesalah bawah umur tidak boleh didakwa di mahkamah seperti golongan dewasa.

Beliau berkata, perkara ini tertakluk di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 yang turut memperuntukkan hukuman berbeza daripada golongan atas usia 18 tahun.

“Walaupun jenayah ini tergolong sebagai jenayah berat, ia tidak ada pengecualian walaupun yang didapati terlibat dalam jenayah itu – iaitu jenayah bunuh atau rogol – mereka adalah kanak-kanak bawah usia 18 tahun.

“Ia memang tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya kepada TV Pertiwi.

Mengulas lanjut, Haniff berkata, sekiranya didapati bahawa kes jenayah yang dilakukan golongan bawah umur itu turut melibatkan orang dewasa, maka ‘kanak-kanak’ itu akan bicarakan di mahkamah bersama orang dewasa – bukan sekadar di Mahkamah Kanak-Kanak.

Katanya, ini kerana pertuduhan akan dibicarakan bersama.

Namun begitu, Haniff berkata, situasi ini juga tidak mengecualikan kanak-kanak yang dituduh itu daripada perlindungan Akta Kanak-Kanak seperti mana yang diperuntukkan dalam Seksyen 15 akta tersebut.

“Perlindungan yang diperuntukkan bermaksud, nama atau butiran, gambar atau video kanak-kanak tersebut tidak boleh ditayangkan atau digunakan pihak media termasuk disebarkan di media sosial.

“Mahkamah pun tidak boleh dedahkan seperti mana butiran mengenai pertuduhan melibatkan orang dewasa.

“Selain itu, perbicaraan adalah secara tertutup dan hanya pihak terlibat seperti pihak yang mendakwa, peguam pembela, saksi yang dipanggil serta ahli keluarga sahaja dibenarkan masuk.

“Justeru, orang lain termasuk pihak media tidak dibenarkan berada di dalam perbicaraan dan hanya boleh menyiarkan perkembangan perbicaraan menerusi maklumat yang dikongsikan oleh pegawai sama ada pihak pendakwa atau yang membela untuk memberi rumusan,” jelasnya.

Haniff berkata, situasi ini seperti yang sedang berlangsung dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Sabah.

Hukuman bagi pesalah Kanak-Kanak berbeza

Menurut Haniff, penentuan pendakwaan seseorang individu itu sama ada di Mahkamah Kanak-Kanak atau mahkamah orang dewasa bergantung pada usia ketika melakukan jenayah tersebut.

Ini bermakna, walaupun usia individu yang dituduh itu melepasi 18 tahun ketika proses perbicaraan, dia masih akan dibicara di Mahkamah Kanak-Kanak kerana ‘perbuatan jenayah’ itu berlaku ketika usianya dikategorikan sebagai bawah umur.

Daripada aspek hukuman yang diperuntukkan, Akta Kanak-Kanak jelas menyatakan bahawa hukuman yang diperuntukkan di bawah akta ini adalah lebih ‘ringan’ berbanding hukuman pesalah laku dewasa.

Haniff menjelaskan, hukuman untuk pesalah bawah umur dielakkan daripada dikenakan hukuman penjara, walaupun kesalahan yang dilakukan itu membolehkan orang dewasa dipenjara sehingga 20 tahun.

“Jadi, dia tidak boleh dipenjarakan. Oleh itu, keputusan yang paling berat pun dihantar ke Henry Gurney dan seangkatan dengannya.

“Dalam kes-kes lebih ringan seperti mencuri, guna dadah dan sebagainya, biasanya mahkamah akan bagi bon jaminan kelakukan baik,”

Sementara itu, Haniff berkata, penggunaan perkataan ‘rekod sabitan’ tidak digunakan dan digantikan dengan istilah ‘penemuan bersalah’.

Tambah beliau, istilah penemuan bersalah tidak menjadi rekod sabitan, bagaimanapun ia membantu pihak berkuasa dalam memantau kesalahan bagi membantu siasatan kes seumpama pada masa hadapan.

“Maksudnya, tiba-tiba ada berlaku jenayah sama di kawasan sama, maka polis boleh teliti rekod individu tersebut, mereka akan tumpu siasatan sama ada mereka terlibat atau tidak dalam usaha menyegerakan siasatan,” tambahnya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Lambakan kes pelajar, ini bukan kebetulan tapi krisis pendidikan

Next Post

Dua tahun selepas genosid Israel, Gaza hancur lebur

Related Posts