BANGI, 17 RABIULAKHIR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, bertegas mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa Kampung Sungai Baru tidak termasuk dalam kawasan tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS) atau rizab Melayu.
Menurutnya, tapak Kampung Sungai Baru terbentuk pada tahun 1967, iaitu tujuh tahun sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan apabila Kerajaan Selangor ketika itu menjajar dan meluruskan Sungai Klang yang terletak bersebelahan kawasan tanah MAS bagi mengatasi masalah air bah di kawasan itu.
Katanya, pengalihan laluan Sungai Klang melibatkan kawasan di sebelah kanan Sungai Klang, dari hulu sungai ke hilir dan setelah sungai itu diluruskan, wujud tanah baru yang dianggarkan kira-kira 16 ekar yang dinamakan Kampung Sungai Baru, namun tidak termasuk dalam kawasan rizab MAS seluas 219.91 ekar.
“Tanah ini kemudian dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk menambah penempatan orang Melayu di sekitar Kampong Bharu. Namun, tiada rekod rasmi yang menunjukkan tanah tersebut adalah tanah MAS atau rizab Melayu.
“Walaupun perkara ini ada disebut oleh Tan Sri Ambrin Buang yang merupakan Ahli Dewan Diraja Selangor dan juga bekas Pengerusi Perbadanan Kampong Bharu (PKB). Saya mohon maaf kerana tidak boleh mengulas panjang tentang isu ini memandangkan isu ini masih lagi dalam proses pengurusan kes di mahkamah.
“Cuma apa yang saya boleh katakan adalah berdasarkan semakan PTGWPKL (Pejabat Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), tanah tersebut tidak pernah diwartakan sebagai kawasan MAS atau tanah rizab Melayu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Penerangan kepada Ahli Parlimen bertajuk “Hala Tuju Pembangunan Kampong Bharu Ke Arah Pemerkasaan Identiti Melayu di Kuala Lumpur.”
Ambrin yang juga mantan Ketua Audit Negara dan anak jati Kampong Bharu, sebelum ini membuat kenyataan media menegaskan bahawa Kampung Sungai Baru adalah sebahagian daripada kawasan Kampong Bharu yang diwartakan khas sebagai tanah penempatan Melayu sejak 1900 dan wajar dikekalkan statusnya sebagai rizab Melayu.
Beliau dilaporkan berkata bahawa berdasarkan surat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor pada 5 Mei 1970, tanah Kampung Sungai Baru adalah tanah khas orang Melayu dan hendaklah kekal begitu.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, turut disembah maklum serta meneliti kenyataan media Ambrin berkenaan isu pembangunan semula di Kampung Sungai Baru.
Sementara itu, Zaliha menafikan kerajaan terlibat dalam pemilihan pemaju Kampung Sungai Baru.
“Untuk makluman Tan Sri Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, penduduklah yang sebenarnya bersetuju sendiri mencari, memilih dan melantik pemaju yang mereka inginkan tanpa ada campur tangan Kerajaan.
“Penduduk yang bersetuju untuk pembangunan semula Kampung Sungai Baru menubuhkan sebuah persatuan pada 2010 yang dinamakan sebagai Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru sebagai usaha untuk menggerakkan pembangunan semula kawasan tersebut melibatkan 328 unit hartanah, iaitu 264 unit flat dan 64 unit teres,” katanya.
Beliau berkata, persatuan itu juga menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Ritzy Gloss Sdn Bhd yang kemudian diambil alih oleh Suez Capital Sdn Bhd pada 2016.
Selain itu, katanya ada yang membangkitkan bahawa syarikat tersebut dari Singapura, tetapi semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan dakwaan itu tidak berasas kerana pemilikan syarikat itu adalah 100 peratus warga Malaysia.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi
Sokong perjuangan TV Pertiwi dan langgan: https://tvpertiwi.com/eksklusif/