Firaun lambang kezaliman, tak sesuai kaitkan dengan ‘jasa’

BANGI, 11 RABIULAKHIR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mencuri perhatian apabila dalam satu ucapannya baru-baru ini, beliau menyebut bahawa “Firaun pun ada jasa”. Kenyataan itu mengejutkan ramai kerana jarang sekali seorang pemimpin tertinggi negara memilih tokoh yang terkenal sebagai simbol kezaliman dalam sejarah Islam sebagai bahan perbandingan.

Prinsip bahawa tiada siapa terkecuali daripada tindakan undang-undang walaupun mereka pernah berjasa kepada negara wajar dipuji kerana Islam sendiri menegaskan bahawa keadilan mesti ditegakkan tanpa mengira pangkat, kedudukan atau jasa silam.

Namun yang menimbulkan tanda tanya ialah apabila beliau memilih untuk mengaitkan soal “jasa” dengan Firaun. Kata PM:

“Ini sudah kenapa tangkap orang itu, dia berjasa kepada semua orang. Semua orang ada jasa, tukang cuci ada jasa, penghulu ada jasa, orang korup pun ada jasa.

“Firaun ada jasa, bagi ribuan orang makan setiap hari, tapi jasa Firaunlah.”

Benar, mesej asal yang mahu disampaikan ialah jasa tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup salah laku. Tetapi membawa nama Firaun sebagai analogi menimbulkan kekeliruan besar. Dalam sejarah Islam, Firaun tidak pernah dikenang sebagai pemerintah yang berjasa, sebaliknya menjadi simbol mutlak kezaliman, kekufuran dan kesombongan.

Tidak hairanlah ramai netizen meluahkan rasa kurang senang dengan kenyataan itu. Ada yang menulis:

“Boleh guna contoh lain, kenapa mesti Firaun?”

“Firaun ni simbol zalim dalam Islam, tak sesuai nak dikatakan berjasa.”

“Kami setuju tiada siapa kebal undang-undang, tapi contoh tu tak kena langsung.”

Firaun bukan sekadar seorang raja yang membina tamadun atau memberi makan rakyatnya. Dia ialah diktator yang menindas Bani Israel, mengaku dirinya tuhan dan akhirnya dibinasakan Allah. Justeru, menyebut kononnya Firaun juga ada “jasa” memberi makan rakyat, lalu meletakkannya dalam kerangka perbandingan dengan tokoh atau negarawan kita, amat tidak kena. Ia seolah-olah meletakkan kezaliman dan penindasan sebagai satu bentuk jasa yang boleh dipuji.

Bahasa seorang pemimpin membawa makna yang besar. Setiap perumpamaan yang dipilih bukan sahaja menggambarkan mesej, tetapi juga mencorakkan persepsi rakyat. Analogi yang kabur boleh menimbulkan kekeliruan, lebih-lebih lagi apabila disampaikan oleh seorang Perdana Menteri yang kata-katanya sentiasa diperhatikan. Di sinilah pentingnya hikmah dalam berbahasa: menyampaikan kebenaran dengan tepat, tanpa menimbulkan tafsiran songsang.

Dalam tradisi Islam, kita tidak diajar untuk melihat kezaliman sebagai “jasa”. Sebaliknya, kita diseru mencontohi para pemimpin adil seperti Nabi Yusuf a.s. atau Khalifah Umar Abdul Aziz yang memerintah dengan taqwa dan keadilan, bukan dengan penindasan. Inilah contoh sebenar yang wajar diangkat untuk mendidik rakyat mengenai makna kepimpinan dan keadilan.

Rakyat sebenarnya lebih mengharapkan kepimpinan yang berani melawan rasuah dengan tindakan tegas, bukan sekadar dengan ucapan yang menimbulkan polemik. Ketegasan menegakkan undang-undang boleh disampaikan secara jelas, tanpa perlu analogi yang ekstrem dan kontroversi.

Prinsip bahawa tiada siapa kebal daripada undang-undang adalah sesuatu yang kita semua setuju. Tetapi biarlah mesej itu disampaikan dengan bahasa yang berhikmah dan perbandingan yang tepat. Firaun ialah lambang kezaliman yang dilaknat, bukan contoh “jasa” yang boleh diteladani. Pemimpin mesti berhati-hati agar ketegasan mereka tidak tercalar hanya kerana pilihan kata yang tidak wajar.

Siti Fatimah Binti Ishak, Wartawan TV Pertiwi

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Nasionalis kutuk Israel, desak pembebasan segera aktivis Malaysia tanpa syarat

Next Post

Pelan Damai Trump bukan tawaran, tapi ancaman – Dr Mahathir

Related Posts