Gabungan Nasionalis membantah keras tindakan zalim rejim Israel yang telah menahan aktivis kemanusiaan dari Malaysia malam tadi ketika mereka sedang dalam perjalanan menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza semalam.
Tindakan penangkapan ini merupakan satu pencabulan hak asasi manusia, selain menghina semangat kemanusiaan antarabangsa yang memperjuangkan keamanan serta hak rakyat Palestin untuk hidup bebas daripada kezaliman genosid oleh Israel.
12 aktivis Malaysia yang ditahan tersebut tidak membawa sebarang ancaman ketenteraan, sebaliknya hanya membawa misi kemanusiaan untuk membantu rakyat Gaza yang sedang berdepan krisis kemanusiaan terburuk akibat serangan dan sekatan berterusan oleh rejim Israel.
Penangkapan ini jelas membuktikan sikap angkuh Israel yang tidak menghormati langsung undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Gabungan Nasionalis menuntut:
a. Pembebasan segera tanpa syarat terhadap aktivis Malaysia yang ditahan.
b. Campur tangan segera Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra dan sokongan padu masyarakat antarabangsa untuk mendesak pembebasan tersebut.
c. Tekanan diplomatik dan undang-undang antarabangsa dikenakan terhadap Israel atas pelanggaran hak asasi ini.
Gabungan Nasionalis juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin, serta menolak sebarang bentuk normalisasi dengan rejim penjajah Israel.
Tindakan menahan aktivis kemanusiaan bukan sahaja satu kezaliman, tetapi juga isyarat jelas bahawa Israel gentar terhadap suara solidariti dunia yang semakin lantang menuntut keadilan untuk Palestin.
HAJI AMINUDDIN YAHAYA
Pengerusi Gabungan Nasionalis