BANGI, 4 RABIULAKHIR – Malaysia menjadi satu-satunya negara di dunia ini yang sistem pendidikan memberi ruang kepada pendidikan vernakular untuk berkembang, tetapi menjadi duri dalam daging kepada sistem pendidikan negara.
Ini menyebabkan idea untuk mewujudkan sekolah satu aliran tidak pernah berkesudahan, namun realiti undang-undang, politik dan pilihan ibu bapa menyebabkan idea murni ini kelihatan sukar menjadi realiti ketika ini.
Dua keputusan mahkamah tertinggi dalam temph dua tahun kebelakangan, iaitu di peringkat Mahkamah Rayuan pada 23 November 2023 dan Mahkamah Persekutuan pada 20 Februari 2024, menutup hampir keseluruhan jalan perundangan untuk menamatkan sekolah vernakular.
Kedua-dua mahkamah tertinggi negara menegaskan bahawa kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta penggunaan bahasa pengantar Mandarin dan Tamil adalah selaras dengan Perlembagaan.
Laluan sukar satu aliran
Hakikatnya, untuk mewujudkan sekolah satu aliran, negara perlu melalui laluan sukar dengan melakukan pindaan undang-undang dan Perlembagaan, selain kos politik yang bukan kecil.
Di Putrajaya pada 20 Februari 2024, mahkamah tertinggi negara menolak permohonan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk merayu, sekali gus mengekalkan status sah sekolah vernakular. Ringkasnya, status quo disahkan di peringkat akhir kehakiman.
Hujah undang-undang yang mengikat itu turut diperkukuh oleh alasan kehakiman: Mahkamah Rayuan menekankan sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam, maka penggunaan Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar tidak menyalahi Perkara 152 Perlembagaan.
Kata kunci yang banyak dirujuk bahawa sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam, memperincikan asas perundangan yang memisahkan identiti sekolah ini daripada larangan penggunaan bahasa selain Bahasa Kebangsaan oleh agensi kerajaan. Di atas landasan itulah, wacana “hapus vernakular” dikekang halangan undang-undang.
Dari segi politik, Kerajaan Pusat tidak menunjukkan minat untuk mengubah sistem pendidikan sedia ada.
Pada Mac 2024, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menyatakan sekolah vernakular bukan punca perpecahan, malah mendakwa menarik penyertaan silang etnik dengan data kemasukan pelajar bukan Cina ke SJKC dan bukan India ke SJKT yang meningkat sejak 2018.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pada Mac 2024 turut menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak bercadang merombak ekosistem vernakular; sebarang tindakan perlu berasaskan peruntukan Akta Pendidikan. Kenyataan ini memang dijangka dengan kerajaan tidak mahu membuka konflik politik baharu.
Realiti di lapangan
Menoleh ke bawah, ke lapangan pengurusan sekolah, kelebihan paling ketara SJKC ialah budaya mobilisasi komuniti dan sokongan kewangan. Struktur Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang agresif, jaringan alumni, serta kerjasama korporat menjadikan usaha kutipan dana, pembaikan infrastruktur dan program tambahan berjalan pantas.
Kontroversi di sebuah SJKC membabitkan konsert amal dengan jenama arak pada Julai 2024, misalnya, membuka perdebatan moral dan politik, tetapi pada masa yang sama menonjolkan hakikat, iaitu komuniti SJKC aktif mencari dana di luar peruntukan kerajaan untuk menampung aspirasi sekolah.
Liputan media ketika itu menyimpulkan isu ini bahawa sebahagian besar penambahbaikan SJKC digerakkan oleh komuniti dan sektor swasta.
Realiti itu memaksa satu soalan jujur: jika sekolah satu aliran kelihatan mustahil ketika ini, apa yang perlu dilakukan? Jawapan yang munasabah ialah mengukuhkan Sekolah Kebangsaan (SK), bukan dengan retorik, tetapi melalui pakej yang dapat mengubah pengalaman pelajar dan ibu bapa.
Malaysia pernah mencuba model integrasi fizikal tanpa menghapus aliran melalui Sekolah Wawasan dengan SK, SJKC dan SJKT berkongsi kemudahan, tetapi mengekalkan pengurusan masing-masing.
Walaupun pelaksanaannya tidak meluas kerana pelbagai halangan, terutama iltizam politik, ia menunjukkan bahawa dasar integrasi yang tidak menggugat identiti masih boleh terima secara sosial. Kajian akademik dan dokumentasi KPM menunjukkan interaksi sosial rentas aliran melalui persekitaran dan aktiviti bersama.
Perbaiki jurang Sekolah Kebangsaan
Namun pendekatan lebih realistik ketika ini ialah memperkukuhkan SK dan ini bukan jalan mudah dan singkat. Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, menegaskan bahawa jurang fasiliti dan kualiti pengajaran di SK mesti ditangani jika SK mahu kembali menjadi pilihan rasional ibu bapa.
Beliau mengingatkan bahawa kurikulum dan pentaksiran kebangsaan sudah seragam, maka tumpuan perlu pada aspek pelaksanaan di sekolah harian.
Sehubungan itu, tumpuan perlu diberikan kepada kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan kualiti guru. Ibu bapa yang berorientasi keputusan secara automatik akan memilih SK apabila melihat pencapaian SK memberangsangkan.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia, Mohd Azizee Hasan, yang turut berpandangan bahawa SK perlu diperkasakan berkata, antara isu kelemahan SK yang sering menjadi polemik adalah penguasaan dalam Matematik, Sains dan bahasa Inggeris dengan tanggapan bahawa guru SJKC lebih mahir dalam mengajar subjek berkenaan.
Menurutnya, faktor kekurangan guru di SK menyebabkan kes “tangkap muat” berlaku, iaitu guru ditugaskan mengajar di luar kepakarannya.
“SK di bandar tidak sama di luar bandar. Begitu juga SK di pedalaman. Faktor bilangan murid, sosioekonomi ibu bapa, fasiliti sekolah, pengurusan, kualiti guru turut menyumbang kepada pencapaian akademik. Situasi ini perlu dibaiki dengan memastikan guru-guru berkemahiran mengajar subjek-subjek tersebut,” katanya.
Perlu diakui bahawa SK masih ketinggalan dari segi infrastruktur. Bukan sahaja aspek bangunan, malah kemudahan makmal, perpustakaan digital, ruang belajar selesa, tandas bersih dan keselamatan pagar sekolah. Aspek kualiti yang mudah dilihat boleh mengubah persepsi masyarakat dengan cepat.
Peranan PIBG
Selain itu, tidak salah untuk meniru amalan SJKC dan ini memerlukan PIBG lebih agresif dalam urusan pengumpulan dana dan jaringan korporat tanpa menggadai garis panduan syariah dan tatakelola.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, melihat sokongan padu PIBG sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kecemerlangan akademik di SJKC.
“PIBG mereka jarang membantah apa-apa usaha pemerkasaan murid yang dijalankan oleh pihak sekolah dan memberikan sokongan penuh menerusi bantuan dalam pelbagai aspek termasuk material, dana dan lain-lain,” katanya.
Katanya, keadaan itu membolehkan SJKC menyediakan prasarana yang bagus buat murid sekalipun hanya berstatus sekolah bantuan kerajaan.
Jalan menuju ke sekolah satu aliran masih jauh untuk dicapai, tetapi bukan mustahil untuk dicapai dengan kerajaan perlu memberi lebih penekanan terhadap keperluan SK, sama ada di bandar mahu pun luar bandar. Apabila SK kembali unggul, debat mengenai sekolah satu aliran akan menjadi kurang dengan sendirinya dan ibu bapa tidak perlu dipaksa apabila pilihan terbaik sudah jelas di hadapan mata.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi