Tentera Israel lepas tembakan ketika rakyat Palestin ‘serbu’ pusat agihan makanan

GAZA, 30 ZULKAEDAH —Ribuan warga Palestin menyerbu pusat agihan makanan selepas hampir tiga bulan hidup tanpa bekalan segar di Rafah, selatan Gaza.

Keadaan menjadi huru-hara pada hari Selasa di bandar selatan Rafah apabila penduduk termasuk kanak-kanak menyerbu pusat bantuan tersebut untuk mendapatkan makanan kerana kebuluran.

Menurut laporan antarabangsa, tentera Israel melepaskan tembakan amaran bagi membubarkan orang ramai yang menarik pagar pemisah untuk mendapatkan bantuan makanan.

Pejabat Media Kerajaan Gaza melaporkan bahawa tiga warga Palestin terbunuh dan 46 cedera di lokasi tersebut.

“Beberapa lagi dilaporkan masih hilang,” katanya. 

Malah, ketika kebimbangan terhadap kebuluran semakin meningkat, tekanan antarabangsa terhadap Israel juga bertambah apabila negara sekutu seperti United Kingdom, Perancis dan Kanada memberi amaran kepada Israel awal bulan ini bahawa mereka mungkin akan mengenakan sekatan jika sekatan bantuan tidak ditarik balik.

Justeru, tentera rejim Zionis mengumumkan bahawa ia akan membenarkan penghantaran ‘minimum’ bekalan penting disambung semula.

Namun pengumuman itu menimbulkan kontroversi, terutama sekali keputusan Israel untuk memintas rangkaian agihan bantuan tradisional seperti yang diuruskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebaliknya, Israel melantik Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah pertubuhan yang disokong oleh Amerika Syarikat, untuk mengetuai usaha tersebut.

Wartawan Al Jazeera, Hamdah Salhut, dari Amman, Jordan berkata, timbul banyak persoalan, termasuk dalam kalangan kerajaan Israel sendiri, tentang bagaimana sebenarnya operasi ini akan dijalankan.

“Kini, seperti yang dapat dilihat, syarikat swasta yang dilantik untuk mengagihkan bantuan ini telah hilang kawalan sepenuhnya,” katanya. 

Israel menyalahkan kumpulan bersenjata Palestin, Hamas, atas kekacauan di pusat bantuan tersebut. 

Menurut seorang lagi wartawan, Mohamed Vall, pula berkata tiada bukti Hamas mengganggu proses bantuan, dan menegaskan lebih dua juta rakyat Gaza hanya mahu sekeping makanan untuk anak-anak dan diri mereka.

“Inilah rakyat Gaza, orang awam Gaza, yang cuba mendapatkan sekeping makanan, apa sahaja makanan untuk anak-anak mereka, untuk diri mereka sendiri.

“Mereka berkata sebab mengapa [pihak berkuasa Israel] berbuat demikian — menubuhkan pusat agihan hanya di selatan — adalah untuk menggalakkan atau malah memaksa orang berpindah dari utara,” katanya.

Vall turut menambah bahawa terdapat rasa curiga dalam kalangan penduduk terhadap niat sebenar menumpukan agihan bantuan di selatan Gaza. – Aljazeera.


Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Wabak kolera di Sudan ragut 172 nyawa dalam seminggu 

Next Post

‘Rumahku, Syurgaku’ bukan hadis Nabi, bila nak siasat menteri? – Cikgu Izzat

Related Posts