Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 23 RAMADAN — Parti Bersepakatan Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) menyalahkan MIC kerana gagal mempertahankan tanah Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dijual kepada pihak ketiga.
Presidennya, P Ramasamy berkata MIC menjadi kerajaan bertahun lamanya namun gagal mendaftarkan kuil itu sebagai Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).
“Kenyataan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan satu perkembangan yang baik namun ia sudah terlambat.
“MIC yang menjadi kerajaan sejak berdekad lamanya sepatutnya bertindak lebih awal memastikan tanah itu digazet sebagai RIBI.
“Malah bekas pemimpin MIC Tun Samy Vellu dengan sumbangannya kepada kuil gagal mendapatkan pengesahan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas sidang media Saravanan semalam mendakwa kuil berkenaan tidak dipindahkan pada 2008 namun hanya sebahagian strukturnya dialihkan.
Katanya, masyarakat Hindu dan orang ramai berhak mempersoalkan MIC kerana gagal mengambil langkah pencegahan lebih awal.
“Adakah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah berlaku adil dan menggazetkan tanah itu sebagai RIBI?
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti berlaku adil kepada semua kaum dan agama di Malaysia. Beliau harus ingat kerajaannya mendapat sokongan dari Melayu, Cina dan India.
“URIMAI menggesa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman kekal di tempatnya. Jika perlu, URIMAI terbuka kepada idea masjid didirikan di sebelahnya,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi