SELASA, 25 JANUARI – Kerajaan menegaskan untuk tidak melaksanakan sekatan terhadap pergerakan rakyat dan sektor ekonomi meskipun berlaku penularan Covid-19.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tumpuan kerajaan ketika ini adalah terus mengurangkan kes pandemik dan pada masa sama memulihkan ekonomi.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri berkata :
“Dua hari lalu, kerajaan sudah mengumumkan kita tidak membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyekat pergerakan rakyat. Tiada istilah menyekat pergerakan dari daerah ke daerah dan negeri ke negeri lain. Cuma, (yang) kita masih menutup adalah sempadan negara,”
Ismail Sabri berkata, penutupan sempadan terpaksa dilakukan kerana kes di luar negara masih tinggi – justeru itu, langkah berhati-hati perlu diambil walaupun sudah memulakan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dengan Singapura.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.
Ismail berkata, walaupun sesetengah negara sudah mengurangkan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelancong ke negara mereka, kerajaan masih mempertimbangkannya dan mungkin akan mengambil langkah sama.
Mengulas lanjut katanya, KKM boleh mempertimbangkan kelonggaran SOP sekiranya pemberian vaksin lengkap dua dos dan dos penggalak selesai dilaksanakan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai khabar angin disebarkan di media sosial mengenai umat Islam tidak boleh pulang ke kampung untuk berhari raya.