Oleh Wartawan TV Pertiwi
MCA menggesa sistem on-call semasa ditambah baik bagi memastikan kebajikan doktor dan pesakit terus terpelihara.
Timbalan Presidennya, Datuk Mah Hang Soon berkata, syif bekerja 30 jam memberi kesan kepada kualiti rawatan dan ia mungkin membahayakan pesakit.
“Cabaran ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan doktor tetapi turut mengurangkan masa mereka untuk bersama keluarga.
“Tiada keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi, kepuasan kerja yang merosot selain turut menyumbang kepada potensi penghijrahan tenaga pakar dalam sektor kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook MCA hari ini.
Katanya, apabila doktor mengalami keletihan, keupayaan mereka untuk diagnosis dengan tepat dan melakukan pembedahan dengan selamat boleh dipersoalkan.
“Kami menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberi perhatian terhadap isu ini bagi mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih berperikemanusiaan.
“Tenaga kerja yang dibayar dengan setimpal, mempunyai kakitangan mencukupi dan mempunyai akses kepada peralatan perubatan yang moden adalah penting, ” katanya.
Mah berkata, waktu ideal untuk syif on-call bagi doktor seharusnya tidak melebihi 12 hingga 16 jam walau mereka pernah menuntut supaya syif itu tidak melebihi 24 jam.
Katanya, perubahan syif dapat memastikan doktor mendapat rehat yang mencukupi dan mampu memberikan penjagaan terbaik.
Sekumpulan doktor sebelum ini menggesa syif on-call dapat dikurangkan kerana berasa terbeban dengan waktu bekerja 30 jam.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
#MCA #doktor #jaduakerja #oncall #HangSoon