Oleh : Wartawan TV Pertiwi
BANGI, Khamis – Operasi pencarian pesara pegawai kewangan Felcra Sabari Baharom, 62, yang dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dekat sini telah ditamatkan.
Dengan penamatan operasi berkenaan, isteri mangsa, Subhiah Ruslina Shahibi, 57, menjelaskan dia reda selepas menerima maklumat mengenainya malam tadi.
Menurutnya, beliau dan ahli keluarga akan melawat lokasi kejadian, iaitu di Jambatan Kampung Empa, Derang, pada Khamis.
Katanya kepada Berita Harian, dia dan keluarga berpuas hati dengan usaha pasukan pencarian di sekitar kawasan sungai tempat suaminya dipercayai dicampak.
“Saya puas hati dengan usaha mereka, atas kemampuan mereka dalam operasi mencari suami saya. Polis pun cakap, mereka tahu usaha ini sudah lewat sebab kejadian berlaku pada 4 September lalu.
“Keluarga tahu dan terima bahawa suami saya sudah tiada lagi. Jika jasadnya ditemukan Alhamdulillah, jika tidak, tidak mengapa, itu semua ketentuan Allah. Saya ucapkan terima kasih atas usaha pihak berkuasa mengesan jasad suami,” katanya.
“Sebelum ini, banjir besar melanda kawasan itu selama kira-kira seminggu, diikuti banjir lain selama empat hari. Arus deras boleh menyebabkan pelbagai kemungkinan,” katanya.
BERNAMA melaporkan, difahamkan operasi selama tiga hari yang bermula Isnin lalu, meliputi radius 13 kilometer Sungai Padang Terap, tidak menemukan sebarang petunjuk sehingga pencarian dihentikan pada petang semalam.
Operasi pencarian Sabari digerakkan selepas polis menahan dua suspek lelaki berumur 26 dan 38 tahun, Jumaat lepas, bagi membantu siasatan kes kehilangan warga emas itu.
Pada Isnin, polis mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Sabari hilang sejak 4 Sept lepas, dan kereta Proton Waja yang dinaikinya ditemukan hangus di Belantik, Sik.
Operasi pencarian Sabari melibatkan pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
#Sabarihilang #campak #PDRM #SungaiPadangTerap
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.