Pemimpin DAP tak setuju hukuman mati ke atas pemandu mabuk

BANGI, 11 SYAWAL – Pemimpin DAP tidak setuju dengan cadangan wakil rakyat pembangkang supaya pemandu mabuk yang menyebabkan kematian dijatuhkan hukuman mati.

Setiausaha Antarabangsa DAP, Kasthuri Patto berkata, cadangan oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal itu tidak akan menoktahkan isu memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, cadangan itu adalah teori gagal dan merupakan pendekatan kolonial.

“Sebagai seorang penggubal dasar, beliau (Wan Ahmad Fayhsal) sepatutnya menyokong cadangnya dengan data, statistik dan menggunakan standard antarabangsa serta amalan terbaik, bukan sekadar memberi maklum balas seperti ini.

“Melihat kepada kejayaan di Eropah yang merupakan pengguna bir terbesar berbanding daripada mencadangkan hukuman mati kepada pemandu mabuk,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, rakyat Malaysia baru-baru ini digemparkan dengan penularan video kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal yang terpelanting selepas dilanggar pemandu dipercayai dibawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kejadian di Klang pada Ahad lalu.

Kasthuri berkata, kes pemanduan mabuk tidak harus dilihat sebagai isu kaum, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh berasaskan pencegahan, penguatkuasaan tegas dan tanggungjawab bersama.

Beliau pada masa sama turut mengecam tindakan tidak bertanggungjawab itu yang menyebabkan kematian seorang insan yang tidak bersalah.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab ini yang telah meragut nyawa seorang insan tidak bersalah dan meninggalkan kesan mendalam kepada keluarganya,”ujarnya.

Namun mengulas reaksi media sosial, beliau melahirkan kebimbangan apabila perbincangan awam mula menyentuh isu perkauman dan menggunakan gelaran menghina terhadap pelaku.

Dari aspek hukuman, beliau mencadangkan tindakan yang lebih berat yang disertai penguatkuasaan konsisten pendidikan awam dan penyediaan infrastruktur yang mencukupi.

“Denda tinggi dan hukuman lebih lama hanya berkesan selepas jenayah berlaku. Fokus yang sama penting perlu diberikan sebelum kemalangan berlaku. Pencegahan adalah kunci,” katanya.

Selain itu, katanya kempen pemandu ditetapkan dan kerjasama antara industri minuman serta pihak berkuasa dilihat berkesan dalam mengurangkan kes pemanduan mabuk di negara lain.

Kasthuri menekankan bahawa individu yang memilih untuk mengambil alkohol perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan tidak memandu di bawah pengaruh.

“Kita tidak boleh menikmati kedua-duanya sambil mempertaruhkan nyawa sendiri dan orang lain,” katanya.

Beliau turut mencadangkan pelan jangka panjang selama lima hingga 10 tahun melibatkan kerajaan, pihak berkepentingan dan masyarakat bagi menangani isu berkenaan secara menyeluruh.

Tambahnya, penguatkuasaan undang-undang perlu diperkukuh melalui pemeriksaan mengejut yang kerap, selain mewajibkan penggunaan kamera badan dalam kalangan anggota penguat kuasa bagi memastikan tindakan lebih telus dan berkesan.

Kasthuri juga mengingatkan orang ramai agar tidak menggagalkan usaha penguatkuasaan, termasuk menyebarkan maklumat sekatan jalan raya di media sosial yang boleh membantu pesalah mengelak tindakan undang-undang.

“Ini bukan perang terhadap alkohol, tetapi terhadap pemandu mabuk yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Undang-undang kejam baharu Israel aniaya penduduk Palestin

Next Post

Lantik KJ sebagai Ketua Penerangan UMNO ibarat wayang politik

Related Posts