Lantik KJ sebagai Ketua Penerangan UMNO ibarat wayang politik

BANGI, 11 SYAWAL – Cadangan UMNO melantik Khairy Jamaluddin (KJ) sebagai ketua penerangan atau portfolio setara parti itu ibarat wayang politik daripada strategi jangka panjang.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri, berkata UMNO harus berhati-hati  jangan sampai demi satu wajah popular, prinsip parti dikorbankan di altar (tempat suci) oportunisme.

“Cadangan melantik KJ sebagai Ketua Penerangan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16  (PRU-16) kedengaran seperti satu “masterstroke” (luar biasa bijak) politik.

“Karisme beliau, gaya komunikasi yang segar, dan imej moden memang mampu menghidupkan semula wajah UMNO yang semakin pudar.

“Dari segi kosmetik, KJ ialah poster boy yang boleh dijual semula kepada pengundi muda,” katanya kepada TV Pertiwi.

Namun pada masa sama, beliau mengkritik KJ yang disifatkan sebagai bukan simbol kesetiaan kerana pernah menentang kepimpinan parti itu.

“Namun, mari kita bersikap jujur. KJ bukanlah simbol kesetiaan. Beliau pernah menentang kepimpinan parti secara terbuka sehingga dihalau keluar.

“Ketika itu, beliau digambarkan sebagai “rebel” (penentang) yang memilih prinsip berbanding parti. Kini, apabila wadah politik lain gagal memberi tapak kukuh, tiba-tiba UMNO dijadikan pelabuhan semula – hanya kerana watikah pencalonan?

“Sinisnya, perjuangan nampak seperti tiket masuk semula ke gelanggang, bukan kerana cinta kepada parti,” katanya.

Dr Ahmad Zaharuddin berkata, jawatan Ketua Penerangan bukan sekadar posisi untuk membaca skrip atau menjual slogan, sebaliknya adalah nadi ideologi, suara konsistensi, dan wajah disiplin parti.

“Jika individu yang pernah menolak parti kini diangkat semula, mesej yang dihantar kepada akar umbi jelas: prinsip boleh dijual beli, kesetiaan boleh disewa, dan perjuangan hanya bergantung kepada peluang. 

“Ya, KJ mungkin mampu memberi nafas baharu. Tetapi risiko lebih besar ialah imej UMNO dilihat sebagai parti yang longgar, sanggup menutup mata demi kelangsungan jangka pendek. Politik bukan sekadar soal menang pilihan raya; ia soal maruah dan kepercayaan,” katanya.

Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pemimpin DAP tak setuju hukuman mati ke atas pemandu mabuk

Next Post

Mahkamah Tinggi perintah Najib bayar balik AS$1.3 bilion kepada SRC International

Related Posts