Pemimpin nombor satu parti terbesar Pakatan Harapan (PH) bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 2022 di kawasan yang jumlah pengundi Melayu adalah hampir 52 peratus atau dalam perkataan lain, Seremban adalah kawasan majoriti Melayu.
Peratusan pengundi Cina di parlimen yang mempunyai enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya kira-kira 32 peratus dan pengundi India, kira-kira 14 peratus.
Namun apabila keputusan PRU-15 diumumkan, Anthony Loke Siew Fook mendapat undian sebanyak 63,916 sekali gus menewaskan empat calon lain dengan majoriti 30,841 undi.
Calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Fadli Che Me mendapat 33,075 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN) Felicia Wong Yin Ting (24,584 undi), calon Pejuang, Mohamad Jani Ismail (1,336) dan calon Bebas, Mohd. Izzat Lesley (373).
Kemenangan Loke menunjukkan bahawa mereka yang mengundinya bukan hanya kaum Cina, malah Melayu yang mungkin datang dari PKR dan Amanah. Pengundi Melayu dari UMNO mengundi BN, manakala pengundi Melayu dari PAS dan Bersatu sudah tentu mengundi PN.
Keadaan yang berlaku di Seremban juga berlaku di kawasan parlimen lain yang majoriti mempunyai pengundi Melayu, tetapi pemenang ialah bukan Melayu.
Dalam landskap politik negara hari ini, orang Melayu tidak lagi diwakili oleh satu atau dua parti dominan seperti era awal pascamerdeka.
Sebaliknya, wujud pelbagai parti berteraskan Melayu-Islam yang bersaing sesama sendiri, iaitu UMNO, PAS, Bersatu, Amanah serta parti-parti lain seperti BERJASA dan Putra.
Secara kasar, terdapat sekurang-kurangnya lima hingga tujuh parti utama dan serpihan politik Melayu-Islam yang aktif dalam pilihan raya dan wacana nasional.
Fenomena ini dari satu segi menunjukkan kepelbagaian demokrasi, tetapi membawa implikasi besar terhadap masa depan kuasa politik Melayu, terutama bagi menentukan parti yang mampu menguasai Putrajaya dan siapa yang mengisi jawatan Perdana Menteri.
Sejak PRU-14 pada 2018, penguasaan parti Melayu tunggal mula runtuh. Perpecahan dalam UMNO melahirkan Bersatu, manakala konflik ideologi dan strategi memisahkan PAS dari gabungan lama serta melahirkan Amanah. Akibatnya, undi Melayu tidak lagi terkumpul dalam satu blok, sebaliknya berpecah kepada pelbagai parti yang bersaing sengit di kawasan sama.
Kesan paling ketara dapat dilihat dalam keputusan PRU-15 apabila tiada satu gabungan pun memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Walaupun pengundi Melayu masih merupakan kumpulan terbesar, perpecahan undi menyebabkan kuasa tawar-menawar mereka menjadi lemah dan bergantung kepada gabungan pelbagai parti.
Di sinilah timbul paradoks besar: jumlah parti Melayu semakin banyak, tetapi keupayaan politik Melayu untuk menguasai kerajaan secara mutlak semakin berkurangan.
Dalam banyak kerusi campuran dan bandar, pertandingan tiga penjuru atau lebih antara UMNO menerusi BN, PAS/Bersatu menerusi PN serta PKR/Amanah menerusi PH sering menyebabkan undi Melayu berpecah. Situasi ini membuka ruang kepada parti berbilang kaum untuk menang dengan majoriti yang lebih kecil.
Penganalisis politik juga pernah menggambarkan persaingan antara parti-parti Melayu utama sebagai seperti “tiga beradik mengejar sesuatu yang sama”, namun gagal mencapai penyatuan. Gambaran ini tepat mencerminkan realiti hari ini, persaingan menenggelamkan kuasa.
Lebih kritikal, perpecahan ini memberi kesan langsung kepada persoalan kepimpinan tertinggi negara. Secara tradisi, jawatan Perdana Menteri sering dikaitkan dengan sokongan kukuh blok Melayu.
Namun dalam keadaan perpecahan undi, tiada satu parti Melayu yang benar-benar dominan untuk menentukan kepimpinan secara sendiri. Ini memaksa kompromi politik, rundingan rentas parti, dan pembentukan kerajaan campuran yang kompleks.
Walaupun Perdana Menteri selepas PRU-15 adalah Ahli Parlimen Melayu dari PKR, tetapi parti terbesar blok kerajaan adalah DAP menyebabkan timbul tanggapan bahawa parti itu mempunyai pengaruh besar dalam hala tuju Kerajaan Perpaduan.
Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh mengubah landskap politik negara. Jika trend perpecahan berterusan menjelang PRU-16, kemungkinan besar tiada satu parti Melayu mampu muncul sebagai kuasa tunggal. Sebaliknya, kuasa politik Melayu tersebar dalam pelbagai blok yang saling bersaing, sekali gus melemahkan keupayaan mereka untuk menentukan hala tuju negara.
Dari sudut positif, kepelbagaian parti mencerminkan kematangan demokrasi. Orang Melayu mempunyai pilihan dari nasionalis, Islamis, reformis hingga pragmatis. Namun persoalannya sekarang ialah sejauh mana kepelbagaian itu membawa manfaat atau mudarat kepada kedudukan politik Melayu secara keseluruhan.
Persoalan besar yang perlu dijawab menjelang PRU-16 bukan lagi siapa parti Melayu paling kuat, tetapi sama ada orang Melayu mampu bersatu dalam strategi yang memanfaatkan bersama. Jika tidak, realiti yang bakal dihadapi ialah semakin banyak parti Melayu, semakin sukar Melayu berkuasa.
Oleh Ziauddin Sharuddin
Wartawan TV Pertiwi