‘Silap pasang, minta maaf’ – Sampai bila? Rakyat Malaysia wajib tahu Jalur Gemilang

KES pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik bukan lagi sesuatu yang terpencil. Ia telah berulang kali berlaku di sekolah, premis perniagaan, dan juga beberapa lokasi awam yang sepatutnya lebih peka terhadap protokol bendera negara.

Setiap kali berlaku, alasan yang dikemukakan hampir sama: tersilap pasang, tidak perasan, atau tidak disengajakan. Dalam insiden terbaru di sebuah sekolah di Port Dickson, difahamkan bendera dipasang oleh seorang pekerja orang kurang upaya (OKU).

Namun apabila kesilapan seperti ini terus berulang dalam pelbagai konteks, wajar untuk kita bertanya, sejauh mana masyarakat benar-benar faham dan kenal bendera negara sendiri?

Jalur Gemilang bukan sekadar lambang fizikal. Ia adalah simbol rasmi negara yang membawa makna besar, mengenai perpaduan, kedaulatan, sejarah serta identiti nasional. Mengibarkannya secara terbalik, meskipun tanpa niat, tetap menunjukkan kurangnya kefahaman terhadap asas kenegaraan.

Lebih membimbangkan, apabila ada pihak yang menganggap teguran terhadap isu ini sebagai keterlaluan atau bermotif politik. Hakikatnya, bendera bukan milik mana-mana parti. Ia milik bersama sebagai lambang negara. Rasa hormat kepada bendera mencerminkan rasa hormat kepada tanah air.

Sebagai rakyat Malaysia, perkara seperti ini tidak sepatutnya dianggap remeh. Memasang bendera dengan betul adalah asas kepada rasa bangga dan tanggungjawab kita sebagai warganegara.

Jika perkara semudah ini pun masih belum difahami sepenuhnya, maka kita perlu menilai kembali pendekatan dalam membina jati diri kebangsaan.

Sekolah, media, pihak berkuasa tempatan serta masyarakat secara umum perlu memainkan peranan yang lebih aktif. Nilai kenegaraan bukan hanya relevan pada bulan Ogos, tetapi perlu dipupuk sepanjang tahun.

Menjadi rakyat Malaysia bukan sekadar pada status, tetapi juga pada penghayatan terhadap tanggungjawab asas termasuk menghormati dan mengenali bendera negara sendiri.

Siti Fatimah Ishak
Wartawan TV Pertiwi

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Penjualan dadah sintetik dalam talian makin membimbangkan – KDN

Next Post

Ibu kecewa anak lebam disyaki dipukul – tapi kes ditutup kerana tiada CCTV dan saksi

Related Posts