BANGI, 14 RAMADAN – Serangan terhadap Iran dilihat sebagai satu bentuk penjajahan yang bertujuan menjayakan projek Amerika Syarikat (AS) dan Israel untuk menjadi kuasa mutlak di Asia Barat.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat, berkata perang itu juga bertujuan menyingkirkan mana-mana kuasa atau negara yang enggan mengikut telunjuk AS dan Israel dalam menetapkan polisi serta dasar negara.
“Umat Islam mesti memahami geopolitik berdasarkan pandangan wahyu, iaitu Yahudi Zionis akan sentiasa menyerang dan cuba menguasai umat Islam sehingga mereka mengikut kehendak mereka,” katanya kepada TV Pertiwi.
Pada 28 Februari lalu, Israel mengumumkan bahawa ia telah melancarkan serangan pencegahan terhadap Iran atas alasan terdapat ancaman “serangan misil dan dron dari Iran dalam masa terdekat”.
Kenyataan itu disahkan laporan CBS News yang memetik Kementerian Pertahanan Israel, menyatakan serangan dilancarkan bagi menyingkirkan ancaman segera terhadap negara tersebut.
Serangan besar-besaran ke atas Iran sejak Sabtu lalu bukan sahaja meningkatkan ketegangan konflik, malah kini merebak ke rantau Asia Barat dengan melibatkan sekurang-kurangnya lapan negara lain.
Media melaporkan bahawa konflik itu turut menjejaskan operasi lapangan terbang dan dijangka menimbulkan kesan jangka pendek ketara terhadap penerbangan dunia, dengan kos agregat industri mungkin mencecah lebih AS$1 bilion jika situasi bertambah buruk.
Di peringkat global, banyak pihak mempersoalkan justifikasi Israel, memandangkan operasi itu dilancarkan hanya dua hari selepas rundingan nuklear Iran–AS di Geneva berakhir.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi