BANGI, 9 RAMADAN – Aktivis tanah, Tamim Dahri meluahkan rasa hairan apabila menerima surat tuntutan (LOD) daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selepas menegur Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran ‘surat terbuka’ di Facebook baru-baru ini.
Menurut Tamim, persoalan yang bermain di fikirannya ialah locus SKMM untuk mengambil tindakan sivil terhadapnya kerana teguran yang dibuat itu langsung tidak mengandungi unsur menuduh atau menghina, sebaliknya mengutarakan beberapa persoalan selain menyampaikan nasihat.
Tamim turut mempersoalkan keputusan SKMM untuk mengambil tindakan sivil sedangkan suruhanjaya itu mempunyai kuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang.
“Kenapa nak bazirkan duit rakyat lantik peguam keluarkan LOD? Kenapa tak guna DPP (timbalan pendakwa raya)? Berapa bayar peguam ini?
“Surat terbuka aku kepada Fahmi Fadzil. Dah kenapa SKMM pula hantar LOD? Surat terbuka itu hanyalah teguran dan nasihat kepada Fahmi Fadzil. Kenapa SKMM pula terasa?,” soalnya dalam hantaran di Facebook beliau semalam.
Dalam pada itu, Tamim sekali lagi mempersoalkan mengenai kes tahun lalu apabila beliau mendakwa ditahan tiga hari sebelum raya, namun masih belum didakwa sehingga hari ini.
Tamim juga mencabar SKMM terutama pegawai beragama Islam dalam kalangan suruhanjaya itu untuk menjawab sama ada teguran rakyat kepada seorang menteri salah di sisi Islam atau Perlembagaan Persekutuan.
“Tidak bukan. Oleh itu, jangan jadi bidak catur kepada politikus yang menggunakan nama baik SKMM dan diri kamu semua untuk mendiamkan kebenaran.
“Secara peribadi, kamu semua sokong ke aktiviti kuil haram? Buat kuil atas tanah orang, bila disuruh keluar, main isu 3R, minta pampasan dan tuntut tanah ganti. Kamu semua setuju atau tidak secara prinsip?
“Demi Allah yang nyawa aku di dalam genggamannya, aku berazam untuk menginfakkan harta, diri dan masa aku hanya kepada Allah.
“Tiada apa yang boleh menakut-nakutkan aku selain Allah,” tegas beliau.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi