BANGI, 1 RAMADAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengingatkan bahawa pembinaan kuil atau berhala di negara ini tidak boleh dilakukan secara sembarangan.
“Tak boleh pacak kuil atau berhala di mana tempat saja, tak boleh,” katanya pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ihya’ Ramadan di Putrajaya, hari ini.
Minggu lalu, Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara, menyatakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberi keizinan supaya `membersihkan’ rumah ibadat yang sengaja dibina tanpa mengikut jalur hukum yang sah.
Anwar juga menegaskan bahawa pembinaan kuil dan berhala perlu dilakukan mengikut peraturan.
“Sepertimana kuil-kuil Hindu, sembahyang la sebanyak mana dia nak pun, buatlah kuil mana pun, tapi ikut peraturan lah,” katanya.
Anwar turut menafikan dakwaan bahawa pembinaan surau juga dibuat di merata tempat dan tidak mengikut peraturan dengan memberi contoh di Perak sebelum ini, ada surau yang pernah dirobohkan kerana melanggar peraturan.
“Jadi saya harap perkara ini sepatutnya kita selesaikan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan tiada halangan atau menyekat sebarang kegiatan keagamaan di negara ini, tetapi isu itu perlu ditangani dengan baik, walaupun ada ketikanya penyelesaiannya tidak mudah dan justeru itu, penguatkuasaan perlu telus.
Katanya, apapun yang mahu dilakukan, pihak berkenaan perlu mengikut peraturan kerana negara ini berpaksikan undang-undang.
‘Saya terlibat juga dalam kegiatan-kegiatan dakwah dulu. Buatlah dakwah, tiada sekatan sama sekali. Tapi ikutlah peraturan. Itu sahaja yang kita minta. Saya harap perkara ini sepatutnya kita selesaikan dengan baik.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi