BANGI, 1 RAMADAN – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat memberi amaran agar jangan sekali-kali memainkan naratif minoriti ditindas majoriti dalam isu pencerobohan tanah, kerana tindakan itu hanya akan menyemarakkan api perkauman yang sukar dipadam.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan peguam, Latheefa Koya, yang mengecam tindakan merosakkan kuil tanpa kebenaran serta dakwaan gangguan terhadap komuniti India, sambil menuduh perbuatan itu tidak selari dengan ajaran Islam dan dipengaruhi sentimen perkauman.
Menurut Ustaz Shuhaib, kenyataan tersebut berisiko mengalih perhatian daripada isu sebenar yang berlaku.
“Perbandingan yang dibuat adalah tidak bertanggungjawab dan cuba mengalihkan isu kepada sentimen perkauman melalui analogi yang salah.
“Tidak timbul isu diskriminasi atau penindasan apatah lagi penzaliman atas faktor agama atau kaum,” katanya kepada TV Pertiwi.
Beliau menegaskan, isu yang sebenar adalah berkaitan jenayah pencerobohan tanah secara haram, bukan konflik agama atau kaum seperti yang cuba digambarkan.
Perkara sama turut ditegaskan oleh Polis Selangor, bahawa tindakan diambil adalah berasaskan undang-undang dan bukan sentimen perkauman.
Ustaz Shuhaib mengingatkan semua pihak, khususnya mereka yang berlatarbelakangkan undang-undang, agar lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan supaya tidak mencetuskan ketegangan yang tidak perlu.
“Kenyataan seperti ini tidak sepatutnya keluar daripada seorang peguam yang bertanggungjawab menegakkan undang-undang tanpa mengira latar belakang agama atau kaum,” tegasnya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi