KHAMIS, 23 DISEMBER – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar memaklumkan beliau masih lagi Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor.
Sehubungan itu dakwaan yang dibuat Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bahawa jawatan Pengerusi MKN telah bertukar tangan adalah tidak benar.
Tan Sri Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia berkata :
“Apa yang dinyatakan oleh YB menteri besar Selangor semalam memang tidak tepat sama sekali jadi oleh itu saya minta maaflah istilah mudah saya nak buat kenyataan ini seperti saya nak sekolahkan menteri besar ni supaya menteri besar Selangor ni memahami arahan-arahan dan pentadbiran kerajaan.”
Tambahnya, sekiranya Amirudin memahami bidang tugasnya tidak akan timbul cakap-cakap kononnya tidak boleh mempengerusikan mesyuarat seperti yang didakwa.
Jelas Noh Omar, Menteri Besar mungkin dia tidak faham ada dua arahan berbeza dibawah MKN iaitu pertama pengurusan keselamatan negara dan kedua ialah Majlis Keselamatan Negara, Semakan Semula Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana negara, ini dua yang berbeza dan Noh Omar dilantik di bawah isu keselamatan negara.
Sebelum ini, Amirudin berkata beliau telah mendapat panggilan daripada MKN untuk mempengerusikan MKN Negeri Selangor ekoran bencana banjir di negeri berkenaan.