BANGI, 29 SYAABAN – Presiden Berjasa, Ustaz Zamani Ibrahim menegaskan kerajaan perlu bersikap tegas, adil, dan konsisten dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan isu kuil haram, tanpa tunduk kepada budi bicara politik.
“Jika undang-undang takut kepada kertas undi, negara akan terus hilang wibawa,” tegasnya dalam hantaran ringkas di Facebook.
Menurut Ustaz Zamani, pencerobohan tanah dan pembinaan tanpa kawalan sering berlaku atas nama toleransi dan kepentingan politik, sedangkan undang-undang sepatutnya menjadi garis pemutus.
Beliau menekankan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan terjamin, manakala agama lain bebas diamalkan, tetapi kebebasan itu tidak bermakna boleh menceroboh atau melanggar undang-undang.
“Pencerobohan mesti ditangani melalui penguatkuasaan yang tegas dan adil. Apabila budi bicara politik mengatasi kedaulatan undang-undang, negara akan lemah dan keadilan akan terpinggir,” jelas beliau.
Ustaz Zamani menyeru kerajaan memastikan tindakan penguatkuasaan sentiasa berlandaskan undang-undang, adil, dan konsisten demi mengekalkan wibawa negara.