BANGI, 28 SYAABAN – Presiden Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya menegaskan pihak berkuasa perlu merujuk kepada kes mahkamah terdahulu berhubung hak tuan tanah terhadap penceroboh.
Beliau berkata, langkah itu penting supaya isu berkenaan dilihat dari perspektif undang-undang dan tidak terus memberi tekanan kepada pemilik tanah.
Menurutnya, beberapa keputusan mahkamah telah lama memperincikan bahawa undang-undang Malaysia berpihak kepada pemilik tanah dalam isu pencerobohan dan binaan haram.
Antaranya kes Sidek bin Haji Muhammad & Ors v Government of Perak, di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pemilik tanah tidak wajib mendapatkan perintah mahkamah sebelum mengusir penceroboh atau merobohkan binaan haram.
Dalam keputusan itu, Hakim Raja Azlan Shah menegaskan pemilik berhak mengambil tindakan sendiri selagi tidak menggunakan kekerasan melampau.
Beliau turut merujuk kes Cahaya Ideal (M) Sdn Bhd v Poongavanam & Ors apabila Mahkamah Tinggi menekankan hak pemilik berdaftar untuk mendapatkan kawalan serta-merta terhadap tanahnya.
Selain itu, dalam kes Lee Loy & Ors v Poh Kam Sang & Anor, Mahkamah Rayuan menegaskan mahkamah tidak boleh melindungi penceroboh.
“Kesemua keputusan ini menunjukkan bahawa undang-undang berpihak kepada pemilik tanah, bukan kepada penceroboh atau binaan haram,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Justeru, katanya, pihak polis atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau mana-mana pihak yang tidak faham boleh merujuk kes mahkamah lepas mengenai hak tuan tanah ke atas penceroboh.
“Harap ini akan menjelaskan dari perspektif undang-undang dan tidak lagi memberi ruang kepada penceroboh dan pihak yang bersekongkol dengannya untuk menekan tuan tanah,” katanya.