BANGI, 15 SYAABAN – Peguam, Datuk Lukman Sheriff Alias menyuarakan kebimbangan terhadap tiga perkembangan semasa negara yang disifatkannya sebagai perkembangan tidak sihat dan membimbangkan, membabitkan isu penahanan berkaitan rumah ibadat haram, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta cadangan berkaitan pengurusan Kuala Lumpur.
Mengulas isu penahanan dua individu berhubung rumah ibadat haram, Datuk Lukman menegaskan tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku sekiranya tiada unsur keganasan.
“Penahanan dua orang kerana isu rumah ibadat haram. Kecuali mereka mengajukan keganasan, tahanan tidak patut berlaku,” katanya dalam hantaran di Faecbook.
Penahanan itu dipercayai melibatkan dua aktivis, Tamim Dahri dan Islah Wahyudi yang dikenali sebagai Randuk Malaysia. Kedua-duanya sebelum ini lantang menyuarakan bantahan terhadap pencerobohan tanah serta pembinaan rumah ibadat haram.
Beliau bagaimanapun menjelaskan tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai perkembangan kes tersebut dan meminta supaya merujuk kepada pihak lain untuk maklumat lanjut.
Berhubung MA63 pula, Datuk Lukman berpandangan bahawa keadaan semasa telah melangkaui peruntukan asal perjanjian tersebut, termasuk pindaan Perlembagaan yang dibuat selepasnya.
Menurut beliau, tekanan dan perbalahan berterusan, termasuk dengan Petronas, berpotensi merugikan negara.
“Pada masa ini kita sudah menjangkaui apa dalam MA63. Malah perlembagaan sudah dipinda menjangkaui MA63 dan tekanan/perbalahan terus dengan Petronas akan merugikan kita,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Sabah dan Sarawak wajar diberikan lebih banyak kemudahan bagi meningkatkan tahap sosioekonomi, namun menolak sebarang pentafsiran semula Perlembagaan yang melangkaui MA63.
“Saya tak setuju dengan pentafsiran semula Perlembagaan yang menjangkaui MA63 yang hanya akan memudaratkan negara. Kita tidak patut cuba menghasut kebencian perpecahan. Sepatutnya kita eratkan lagi hubungan sesama kita. Kedaulatan negara perlu dipertahankan,” katanya.
Sementara itu, mengulas cadangan Federal Capital Act dan pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Lukman menyatakan persetujuannya supaya peranan operasi dan kawalselia dipisahkan antara eksekutif dan legislatif.
“Kita kena bezakan operasi dan kawal selia DBKL. Bezakan peranan eksekutif dan legislatif,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa sistem sedia ada yang meletakkan kuasa pentadbiran bandar di bawah eksekutif telah membawa perubahan besar kepada Kuala Lumpur.
Menurutnya, bandar raya itu berkembang menjadi sebuah metropolis moden dengan kemudahan yang baik, hampir bebas setinggan, serta kekal mampu milik dan menjana peluang pekerjaan.
“Struktur sekarang boleh dikekalkan kecuali dapat buktikan struktur baru dapat memberi manfaat yang banyak kepada rakyat biasa,” katanya.
Datuk Lukman menegaskan bahawa ketiga-tiga isu tersebut perlu ditangani secara berhati-hati agar tidak menjejaskan perpaduan, kestabilan dan kedaulatan negara.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi