PERKASA bantah Festival Muzikal Air, gesa kerajaan batal penganjuran

BANGI, 15 SYAABAN – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa kerajaan membatalkan penganjuran Festival Muzikal Air yang seakan Festival Songkran dan dijangka dianjurkan pada Mei ini.

Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, Malaysia tidak sepatutnya menjadi sebuah negara yang hilang arah dan identiti semata-mata atas nama pelancongan.

“PERKASA dengan ini menyatakan bantahan tegas dan pendirian jelas terhadap sebarang cadangan untuk membawa masuk atau menganjurkan pesta budaya Songkran sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

“Malaysia mempunyai asas kenegaraan yang jelas dengan berpaksikan Perlembagaan Persekutuan di mana Islam adalah Agama Persekutuan dan budaya Melayu menjadi teras pembentukan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Azrol berkata, Tahun Melawat Malaysia sepatutnya menjadi wadah untuk memartabatkan warisan tempatan dan bukannya membuka ruang kepada normalisasi budaya luar yang boleh menghakis identiti negara.

“Budaya Songkran merupakan perayaan tradisi luar yang berakar daripada ritual keagamaan dan amalan budaya asing yang tidak sejajar dengan acuan nilai Melayu-Islam serta tidak wajar diangkat sebagai acara pelancongan nasional.

“Budaya Melayu-Islam adalah tunjang negara. Jangan gadaikan maruah jati diri bagi sebuah negara yang bernama Malaysia,” katanya.

Dalam masa sama, PERKASA turut mempersoalkan mengapa budaya luar diangkat sedangkan warisan bumi sendiri dipinggirkan.

“Mengapa seni, adat, permainan tradisional dan warisan Islam tidak dijadikan teras dalam Tahun Melawat Malaysia 2026?

“PERKASA juga memandang serius aspek sensitiviti agama. Songkran bukan sahaja sekadar pesta air, tetapi mengandungi elemen kepercayaan dan simbolik keagamaan tertentu yang jelas akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam di Malaysia,” tegasnya.

Menurut Azrol, kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan liberal terlampau sehingga menggadaikan prinsip serta sensitiviti majoriti rakyat di negara ini.

“Dalam keadaan isu bekalan air, kemarau dan keperluan penjimatan sumber yang semakin mendesak, penganjuran pesta air berskala besar adalah tidak bertanggungjawab serta tidak sensitif terhadap penderitaan yang dihadapi rakyat,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa acara Festival Muzikal Air yang seakan Festival Songkran dan dijangka dianjurkan pada Mei ini akan disesuaikan mengikut budaya tempatan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak berkaitan akan menyesuaikan penganjuran acara berkenaan bagi memastikan kontroversi dan polemik negatif dapat dielakkan.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Menteri Israel dakwa Trump beri Hamas tempoh dua bulan lucutkan senjata 

Next Post

Fail terbaharu Epstein jerat tokoh global, cetus peletakan jawatan

Related Posts