BANGI, 2 SYAABAN – Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) disaran menjalankan saringan terhadap permohonan anak berusia enam tahun sebelum masuk tahun satu.
Bekas guru, Mohd Fadli Salleh berkata, cadangan itu perlu dilakukan supaya murid berusia enam tahun yang terpilih benar-benar layak dan mampu mengikuti pembelajaran dengan baik dan sempurna.
“Tanpa saringan ini, akan ada hak anak-anak ternafi, yang tak layak pun masuk dan akhirnya memberi kesan kepada anak itu sendiri, kepada pengajaran kelas dan bebanan tambahan kepada guru tahun satu pula nanti,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Fadli berkata, beliau sendiri menyokong murid berusia enam tahun boleh memohon secara sukarela untuk masuk tahun satu tahun depan.
Namun dalam masa, beliau turut peka dengan kerisauan netizen mengenai masalah yang bakal timbul.
“Aku sokong ja anak usia enam tahun boleh mohon secara sukarela untuk masuk Tahun 1 pada 2027 ni.
“Tapi kerisauan netizen pun ada asasnya yang pada aku KPM kena halusi cara selesaikan masalah yang dinyatakan.
“Antara masalah yang bakal timbul ialah “anak-anak bakal jadi trofi” kepada ibu bapa dan akan jadi ikut-ikutan atau ‘fomo’ pula tanpa peduli kesediaan anak itu sendiri,” katanya.
Mohd Fadli yang juga pempengaruh turut melahirkan kebimbangan akan ada ibu bapa yang daftar anak mereka pada usia enam tahun hanya kerana mahu menunjukkan mereka berjaya mendidik anak-anak.
“Akan ada ibu bapa yang tetap daftar anak pada usia enam tahun masuk ke Tahun 1 nanti kerana nak orang nampak mereka ibu bapa berjaya mendidik anak-anak hingga anak itu dirasakan berupaya bersaing dengan murid tujuh tahun.
“Akan ada ibu bapa rasa malu atau rendah diri jika anak usia enam tahun tak daftar masuk Tahun Satu .
“Akan ada ibu bapa tak peduli yang anak-anak tu dah boleh kuasai ke belum asasi yang sepatutnya dikuasai di Prasekolah,” katanya.
Mohd Fadhli berkata masalah itu hampir pasti berlaku. Anak usia enam tahun yang masuk ke Tahun Satu 2027 dianggap ‘trofi’ kehebatan parents dan anak itu sendiri.
“Akan ada murid-murid yang sepatutnya masuk pra usia enam tahun tapi didaftarkan untuk Tahun Satu kerana ikut orang atau kawan rapat anak dia,” tegasnya.
Semalam, ketika pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bermula 2027, kanak-kanak yang berusia enam tahun boleh mengikuti pembelajaran tahun satu, namun ia tidak wajib dan bergantung kepada ibu bapa.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi