BANGI, 15 REJAB – Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan (DAPSY) menasihat pihak yang tidak selesa dengan agenda reformasi Kerajaan Perpaduan, terutama memerangi rasuah keluar serta merta dari kerajaan.
“Boleh sahaja menyertai Bos Kajang (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Penjara Kajang) yang disabit hukuman lantaran tindakan rasuah,” kata sayap Pemuda DAP dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam kenyataan yang ditujukan kepada Ketua Pemuda UMNO, DAPSY menyifatkan gesaan Dr Muhamad Akmal Saleh, supaya UMNO keluar dari Kerajaan Perpaduan sebagai bahan lawak politik.
DAPSY mendakwa walaupun sudah berlarutan selama tiga hari mendesak parti sendiri keluar dari kerajaan, tiada seorang pun pemimpin tertinggi UMNO menyahut desakannya.
Menurut DAPSY, UMNO melalui Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 telah memutuskan untuk menyokong Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal.
“DAPSY juga berpegang kepada prinsip bahawa kerajaan mesti terus memacu reformasi,” kata Pemuda Sosialis DAP.
Menurut DAPSY, kerajaan yang ditubuhkan melalui penyatuan UMNO, BERSATU dan PAS pada 2020 terbukti menyebabkan ketidakstabilan politik dan kelembapan ekonomi.
“Malah pada PRU 2022, PAS dan BERSATU merampas banyak kerusi tradisi UMNO. Tindakan mendesak UMNO untuk mengulangi langkah tersebut (bekerjasama dengan PAS) hanya menolak parti itu ke kancah kekalahan yang sama.
“Realiti politik kini adalah PAS bukan sekadar merupakan pesaing UMNO, malah adalah liabiliti dalam tadbir urus negara. Itulah sebabnya selain Akmal, pimpinan UMNO lain memilih berhati-hati dan tidak melayan gimiknya yang memecahbelahkan,” kata DAPSY.
DAPSY berkata, jika Dr Muhammad Akmal masih yakin dan mengharapkan PAS akan menyelamatkan Najib, itu sebenarnya adalah sekadar khayalan kerana realitinya PAS hanya menunggang UMNO untuk memperluas pengaruh.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi