BANGI, 9 REJAB – Tiga pemimpin BERSATU melepaskan jawatan Perikatan Nasional (PN) peringkat negeri selepas presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan peletakan jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari ini.
Pemimpin terbaharu berbuat demikian ialah Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker dan Setiausaha PN Selangor, Dr Afif Bahardin.
Masing-masing melepaskan jawatan mereka berkuat kuasa mulai 1 Januari ini.
Menurut Faizal Azumu, keputusan itu dibuat sebagai menghormati fakta bahawa kuasa pelantikan sebagai Pengerusi PN negeri adalah prerogatif Muhyiddin.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan serta ahli parti komponen PN Perak atas kerjasama, sokongan dan kepercayaan yang telah diberikan sepanjang menggalas amanah ini,” ujar Faizal yang juga Naib Presiden BERSATU.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah pula berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan prinsip menghormati struktur, hierarki dan tatakelola organisasi PN.
Seorang lagi pemimpin BERSATU negeri ialah Dr Afif Bahardin yang berbuat demikian selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN Selangor dan Setiausaha Agung PN.
“Saya mengambil perhatian bahawa pelantikan saya selaku Setiausaha PN Selangor adalah atas bidang kuasa Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” kata ADUN Taman Medan itu.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi