DAMSYIK, 18 JAMADILAKHIR – Semalam, rakyat Syria meraikan ulang tahun pertama kejatuhan Bashar al-Assad dan pemerintahannya yang keras dengan sambutan meriah di bandar-bandar utama, ketika negara yang berpecah itu masih bergelut mencari kestabilan dan bangkit semula selepas bertahun-tahun berperang.
Pemimpin baharu, Presiden Ahmed al-Sharaa, berkata kepada ribuan penyokong bahawa kerajaannya telah “menggariskan wawasan jelas untuk Syria baharu sebagai sebuah negara yang melihat ke arah masa depan yang menjanjikan”, sambil menyifatkannya sebagai pemisahan bersejarah daripada “bab gelap” negara itu.
Assad melarikan diri ke Rusia setahun lalu ketika kumpulan pemberontak Sharaa menawan Damsyik selepas serangan kilat selama lapan hari, menamatkan pemerintahan lebih 13 tahun selepas kebangkitan rakyat bertukar menjadi perang saudara yang getir.
‘Kami mula mencintai negara ini’ kata penduduk Aleppo
Sharaa memulakan hari Isnin dengan solat subuh di Masjid Umawi di Damsyik, memakai pakaian tentera yang pernah digunakan ketika beliau mengetuai kumpulan pemberontak bekas al-Qaeda, Hayat Tahrir al-Sham, pakaian seragam yang kini digantikan dengan sut gelap pejabat presiden.
Beliau berjanji membina Syria yang adil dan kuat, lapor agensi berita SANA.
“Dari utara ke selatan dan dari timur ke barat, insya-Allah, kita akan membina semula Syria yang kuat dengan struktur yang setimpal dengan masa kini dan masa lalu,” katanya.
Di Aleppo, bandar utama pertama yang jatuh ke tangan pasukan Sharaa tahun lalu, kereta berkonvoi sambil membunyikan hon, dengan penumpang melambai bendera baharu Syria.
“Kami mula mencintai negara ini. Dahulu kami tidak mencintainya, kami hanya cuba melarikan diri daripadanya,” kata Mohammed Karam Hammami, penduduk Aleppo.
Sharaa membawa perubahan besar yang mengubah haluan hubungan luar Syria. Beliau menjalin hubungan dengan Amerika Syarikat, meraih sokongan negara Arab Teluk dan Turkiye, serta menjauh dari penyokong Assad, Iran dan Rusia. Sebahagian besar sekatan Barat yang melumpuhkan ekonomi Syria juga telah dihentikan.
Beliau berjanji menggantikan negara polis yang zalim pada era Assad dengan sebuah pentadbiran yang inklusif dan adil.
Namun, ratusan orang terbunuh dalam beberapa insiden keganasan sektarian, membawa kepada perpindahan baharu dan meningkatkan rasa tidak percaya dalam kalangan minoriti terhadap kerajaan Sharaa, ketika beliau bergelut mengembalikan keseluruhan wilayah Syria di bawah kuasa Damsyik.
Pentadbiran diketuai Kurdish yang mengawal timur laut melarang perhimpunan atas faktor keselamatan, merujuk kepada peningkatan aktiviti “sel pengganas” yang didakwa cuba mengambil kesempatan sempena ulang tahun itu. Mereka tetap mengucapkan tahniah kepada rakyat Syria.
Pentadbiran Kurdish berusaha mengekalkan autonomi wilayah mereka, manakala di selatan, sebahagian masyarakat Druze, menuntut kemerdekaan di wilayah Sweida sejak ratusan terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan kerajaan pada Julai lalu.
Empat tahun lagi fasa peralihan sebelum pilihan raya
Sharaa memberitahu sebuah forum di Qatar minggu lalu bahawa “Syria hari ini sedang melalui masa terbaik”, meskipun berlaku keganasan berselang-seli, dan menegaskan pihak bertanggungjawab akan diadili.
Beliau berkata, tempoh peralihan yang dipimpinnya akan berterusan selama empat tahun lagi bagi membentuk institusi, undang-undang dan perlembagaan baharu yang akan dibawa kepada referendum rakyat sebelum pilihan raya diadakan.
Sharaa memegang kuasa luas di bawah perlembagaan sementara yang diluluskan pada Mac lalu. Pihak berkuasa mengadakan undian tidak langsung pada Oktober untuk membentuk Parlimen, namun Sharaa belum menamakan satu pertiga daripada 210 ahli seperti diperuntukkan.
Keluarga Assad, daripada komuniti minoriti Alawite, memerintah Syria selama 54 tahun.
Perang Syria mengorbankan ratusan ribu nyawa dan memindahkan jutaan sejak 2011, memaksa sekitar lima juta melarikan diri ke negara jiran sebagai pelarian.
Agensi pelarian PBB berkata, sekitar 1.2 juta pelarian serta 1.9 juta pelarian dalam negara telah pulang selepas kejatuhan Assad, namun pengurangan dana global boleh menyekat kepulangan lebih ramai.
Gabenor Bank Pusat Syria, berkata kepulangan sekitar 1.5 juta pelarian membantu pertumbuhan ekonomi.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB menyatakan keperluan bantuan di Syria masih kritikal, dengan 16.5 juta orang memerlukan bantuan pada 2025. – REUTERS
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi