BANGI, 3 JAMADAILAKHIR – Desakan kepada pihak berkuasa untuk menghalau penceroboh dan merobohkan binaan haram di atas tanah milik kerajaan adalah selari dengan usaha menjaga kedaulatan negara.
Aktivis tanah, Tamim Dahri menegaskan, isu membina rumah ibadat di atas tanah milik kerajaan tanpa kebenaran perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa kerana tindakan ini adalah sama dengan perbuatan menceroboh.
Justeru, katanya, tindakan tegas wajar diambil kepada pihak yang menceroboh tanah kerajaan termasuk merobohkan sebarang binaan haram yang dibangunkan di atas tanah tersebut.
“Tak perlu nak berunding dan memberi pampasan sama ada dalam bentuk wang tunai atau memberi tanah di lokasi lain bagi tujuan pengosongan tanah kerana mereka (penceroboh) memang tidak patut berada di situ.
“Menawarkan pampasan bukan penyelesaian kepada masalah ini, sebaliknya memberi galakan kepada pihak lain untuk melakukan kesalahan sama pada masa akan datang.
“Sebab itu penting tindakan tegas agar perbuatan menceroboh akan dijadikan sebagai pengajaran. Malah, kita sudah ada undang-undang yang memperuntukkan hukuman tegas bagi kesalahan ini,” katanya kepada TV Pertiwi.
Menurut Seksyen 425, Kanun Tanah Negara (KTN), perbuatan menceroboh tanah kerajaan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, Tamin berkata, dalam usaha menyebarkan kesedaran orang ramai mengenai masalah ini, beliau telah melancarkan tanahmalaya.com, sebuah laman portal yang mendedahkan lokasi-lokasi binaan rumah ibadat secara haram di seluruh negara.
Katanya, menerusi platform itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat mengenai binaan rumah ibadat di kawasan masing-masing sebelum perkara itu akan diutarakan kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan tindakan segera.
“Portal ini dibangunkan bagi mendapatkan kerjasama orang ramai terutama dalam kalangan komuniti setempat untuk mendedahkan lokasi rumah ibadat yang dibina secara haram.
“Selain itu, ini akan menunjukkan betapa seriusnya masalah ini di Malaysia sebelum kita boleh desak pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, Tamin menyeru supaya pihak berkuasa supaya bersikap lebih proaktif dalam menangani masalah ini sebelum rakyat marah dan mula mengambil tindakan sendiri.
“Kita tidak boleh ada sikap sambil lewa. Walaupun tanah kerajaan itu kosong, ini tidak bermakna mana-mana pihak atau individu boleh ceroboh dan membuat binaan sesuka hati.
“Apatah lagi di atas tanah perkuburan Islam. Itu adalah tanah milik orang Islam, cuma diamanahkan untuk dijaga oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri.
“Agensi atau jabatan yang diberi amanah ini seharusnya mengambil tindakan awal untuk menghalang orang luar daripada menceroboh dan menggunakan tanah tersebut.
“Apabila binaan haram mula dibangunkan, ini membuktikan pemegang amanah gagal melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya yang merujuk kepada binaan rumah ibadat haram di PJS4 di Petaling Jaya yang didedahkan baru-baru ini.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi