KAHERAH, 3 JAMADILAKHIR – Delegasi kanan Hamas bertemu ketua perisikan Mesir di sini, semalam untuk membincangkan perjanjian gencatan senjata dan situasi di Gaza, kata kumpulan itu, ketika Israel dan kumpulan pejuang Palestin saling mendakwa melanggar syarat gencatan.
Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat bertindak sebagai pengantara antara Hamas dan Israel, dan berjaya memeterai gencatan senjata yang berkuat kuasa bulan lalu.
Dalam satu kenyataan, Hamas menegaskan komitmen untuk melaksanakan fasa pertama perjanjian gencatan senjata dalam pertemuan dengan ketua perisikan Mesir, namun mendakwa Israel melakukan “pelanggaran berterusan” yang boleh menggugat perjanjian tersebut.
Delegasi Hamas yang turut dianggotai ketua Hamas Gaza di luar negara, Khalil Al-Hayya, turut menggesa satu “mekanisme jelas dan khusus” di bawah penyeliaan pengantara untuk merekod dan menghentikan sebarang pelanggaran perjanjian.
Isu nasib pejuang dalam terowong
Hamas juga berbincang dengan Mesir mengenai cara menyelesaikan segera isu pejuang Hamas yang berada di terowong Rafah, sambil menambah bahawa komunikasi dengan mereka telah terputus.
Awal bulan ini, media melaporkan pengantara berusaha menangani nasib sekumpulan pejuang Hamas yang berada dalam rangkaian terowong di kawasan Gaza yang dikuasai Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum ini berkata tentera negara itu membunuh lima anggota kanan Hamas pada Sabtu lalu selepas seorang pejuang dihantar ke wilayah Gaza yang dikuasai Israel untuk menyerang tentera Israel di sana.
Pegawai kesihatan di Gaza berkata, serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 20 orang pada Sabtu lalu.
Ahad lalu, tentera Israel mendakwa seorang komander tempatan Hamas termasuk dalam mereka yang terbunuh dalam serangan pada Sabtu. – REUTERS
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi