BANGI, 22 JAMADILAWAL – Presiden IDENTITI, Islah Wahyudi Zainudin menegaskan bahawa proses integrasi di Malaysia masih belum mencapai matlamat sebenar dan menyeru supaya pendekatan asimilasi diperkuatkan dalam pembentukan identiti negara mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut istilah seperti Cina, India, Tamil, Myanmar, Bangladesh, Nepal atau Taiwan, sebaliknya menekankan Melayu, Islam, Raja-Raja Melayu, dan bahasa kebangsaan sebagai tunjang utama identiti Malaysia.
“Identiti Malaysia dibina berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan orang asalnya iaitu Melayu, Orang Asli, serta bumiputera Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan asimilasi perlu diberi perhatian bagi memperkukuh perpaduan dan identiti nasional.
Katanya, ada segelintir bukan Melayu masih mengekalkan identiti nenek moyang mereka dan belum menguasai bahasa Melayu sepenuhnya.
Beliau turut menekankan kepentingan penggunaan nama dan bahasa tempatan sebagai sebahagian daripada proses pembinaan identiti kebangsaan, sekali gus menyarankan supaya nama dan bahasa yang digunakan lebih mencerminkan identiti tempatan.
Pada masa sama, Islah mahu sekolah Jenis Kebangsaan dimansuhkan dan bahasa Melayu diperkasakan sebagai bahasa kebangsaan, manakala Islam, institusi Raja-Raja Melayu, dan hak bumiputera terus dijadikan tonggak utama dalam pembentukan identiti negara bangsa.
“Pengukuhan identiti kebangsaan melalui bahasa, agama, institusi raja, dan hak Bumiputera adalah langkah penting bagi memastikan perpaduan dan kestabilan negara pada masa hadapan,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi